Complaint Line

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

EAIC syor tambah baik prosedur pengendalian tahanan lokap

29 May 2021

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan satu Jawatankuasa Kajian Kematian dalam Tahanan pada 1 Mei lalu bagi penambahbaikan prosedur pengendalian tahanan dalam lokap.

Dalam satu kenyataan, EAIC berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi suruhanjaya ini, Tan Sri Zainun Ali itu telah menentukan dan menetapkan Terms of Reference (TOR) bagi tindakan melaksanakan kajian tersebut.

Menurutnya, ia antara lain melibatkan pengumpulan data dan statistik kes kematian dalam tahanan agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC termasuklah mengenal pasti punca kematian dalam tahanan.

“Selain itu, ia turut melibatkan kajian perbandingan undang-undang dan peraturan lokap negara-negara lain dan kajian lapangan terhadap lokap terpilih di seluruh negara dengan penumpuan diberikan kepada lokap yang pernah berlakunya kes kematian dalam tahanan. 

“Hasil kajian ini akan diangkat kepada kerajaan bagi pengesyoran penambahbaikan prosedur pengendalian tahanan dalam lokap agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC agar dapat menangani isu-isu yang berkaitan dengan sewajarnya,” katanya hari ini.

EAIC ingin menegaskan setiap siasatan berhubung kematian dalam tahanan oleh pihak EAIC adalah bebas dan telus berdasarkan kuasa penyiasatan yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Dalam satu laporan portal berita memetik kenyataan ahli Parlimen DAP yang mempersoalkan peranan EAIC berhubung tiga kes kematian iaitu Surendran Shanker, A. Ganapathy dan S. Sivabalan semasa dalam tahanan. – UTUSAN

Sumber - Utusan Online