Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Cuba rasuah polis

27 Dis 2017

BUTTERWORTH: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap tuduhan menawarkan rasuah kepada seorang pegawai polis pada Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Shairulhafiez Mohamad Yusoff, 33, dan Syaiful Anuar Che Khair, 28, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa secara rasuah menawarkan suapan wang tunai RM5,000 kepada seorang pegawai polis di Balai Bayan Baru sebagai dorongan untuk tidak menangkap mereka kerana memiliki dadah jenis syabu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Medan Selera Teluk Bahang, Pantai Jerjak dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang pada 26 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Nor Aini kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, setiap seorang dan menetapkan 30 Januari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Syaiful Anuar diwakili peguam Mohd Izad Buqhary, manakala Mohd Shairulhafiez tidak diwakili peguam. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rais Imran Hamid dan Amin Yaacub.

 

source :  Berita Harian