Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Dakwaan wujud kartel dalam PDRM tidak dapat disahkan - EAIC

23 Feb 2022
KUALA LUMPUR: Dakwaan wujud 'kartel' dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana didakwa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak dapat ditentusahkan, menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Pengerusi EAIC Sidek Hassan berkata keputusan itu adalah dapatan siasatan badan itu berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh.
"Dapatan siasatan dan keputusan EAIC itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN)," katanya sambil memberitahu siasatan berhubung dakwaan itu telah selesai.
Beliau berkata siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM terlibat kegiatan sindiket jenayah dan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta PDRM terhadap pegawai-pegawai terbabit.
"Bagaimanapun, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai terlibat dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan keterangan diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat selain pertukaran diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti serta mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi selain dicampur tangan oleh pihak luar.
Selain itu, Sidek berkata Ketua Polis Negara merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan berhubung pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan PDRM perlu mendapat persetujuannya.
"Kedudukan Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara juga tidak dapat digugat kerana pelatikan itu adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri," katanya.
Pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lepas, Abdul Hamid membuat pendedahan mengenai wujudnya gerakan sekumpulan pegawai PDRM yng ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka.
Sumber : Astro Awani