Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

EAIC akan fokus kes penting - Pengerusi

1 Apr 2021

PUTRAJAYA, 1 April  -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengambil pendekatan tidak lagi menjalankan siasatan terhadap aduan yang bersifat frivolous or vexatious in nature atau remeh dan menyusahkan, kata Pengerusinya Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut bekas Ketua Setiausaha Negara itu, EAIC menerima pelbagai aduan mengenai layanan kasar pegawai penguat kuasa terhadap orang awam namun apabila diselidik, kejadian hanya melibatkan pegawai yang meninggi suara terhadap mereka.

“Jadi, tidak perlulah kita ambil masa untuk selesaikan isu sebegini,” katanya serta menambah bahawa EAIC  merupakan unit kecil dengan hanya  78 pegawai dan diperuntukkan  RM8 juta setahun.

“Biar kita fokus kepada kes penting dan besar seperti gangguan seksual dan sebagainya,” kata Mohd Sidek kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Sedekad Penubuhan EAIC dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang EAIC 2020, di sini hari ini.

EAIC mengawal selia 21 agensi penguatkuasaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Negara. Kesemua 21 agensi tersebut melibatkan lebih 210,000 kakitangan.

Mohd Sidek berkata  tiada keperluan untuk meminda Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) pada masa ini memandangkan sebarang tindakan atau penguatkuasaan di bawah EAIC boleh dilakukan dengan kerjasama pintar bersama jabatan dan agensi lain bagi menangani isu integriti dalam kalangan penguat kuasa.

Menurutnya, beliau membantah cadangan untuk meminda akta tersebut apabila menerajui EAIC kerana berpendapat undang-undang sedia ada mencukupi bagi tindakan penguatkuasaan dan menjadi satu kerugian apabila sumber tersebut tidak digunakan secara komprehensif.

“Banyak akta dalam Malaysia sudah mencukupi tetapi tidak dikuatkuasakan. Namun demikian, saya yakin sekiranya diperbesarkan EAIC  menjadi 780 orang atau bajet sebanyak RM80 juta setahun, kita masih akan menghadapi isu yang kita hadapi sekarang,” katanya.

EAIC ditubuhkan di bawah Akta 700 sebagai agensi yang melaksanakan fungsi badan pengawasan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan dengan peranan menerima aduan daripada orang awam mengenai salah laku pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan, serta merumuskan dan mengadakan mekanisme bagi mengesan, menyiasat dan mencegah salah laku.

Akta 700 hanya memberi kuasa kepada EAIC untuk membuat pengesyoran dan hanya Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) agensi penguatkuasaan mempunyai kuasa untuk menjatuhkan  hukuman seperti PBT di PDRM untuk polis, PBT Imigresen untuk Imigresen.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Sidek berkata setakat ini EAIC menerima 5,237 aduan terhadap pelbagai agensi penguatkuasaan yang mana sebanyak 4,483 fail aduan dibuka. 

Untuk 2021 setakat semalam (31 Mac), beliau berkata EAIC menerima 326 aduan dan membuka sebanyak 274 fail aduan.

Sementara itu, bekas Pengerusi EAIC Datuk Heliliah Mohd Yusof ketika ditemui berkata EAIC telah bergerak jauh ke hadapan jika dibandingkan pada awal peringkat penubuhannya pada 2011.

“Apa yang kita perlukan ialah usaha sebenar untuk menambah baik dan meminimumkan kecuaian atau salah laku,” katanya yang berharap EAIC akan terus menjadi antara unit integriti yang dipercayai dan disegani.

Sumber : BERNAMA