Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

EAIC serah Peguam Negara hasil siasatan kes lompat pagar SPRM

3 Nov 2020

Hasil siasatan EAIC dalam kes Alvin meloloskan diri dari bangunan SPRM diserah kepada Peguam Negara - Sidek. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Hasil siasatan berhubung tindakan Alvin Goh meloloskan diri melalui pagar belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan lalu, sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata tindakan lanjut terhadap kejadian itu, akan ditentukan Jabatan Peguam Negara.

"Semua pihak yang terbabit dalam siasatan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak EAIC.

"Dapatan siasatan dan keputusan EAIC sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara menurut perenggan 30(1)(c) Akta EAIC 2009 [Akta 700] untuk tindakan selanjutnya," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Pada 11 Oktober lalu, Alvin atau Goh Leong Yeong yang ditahan bagi siasatan kes 'Macau Scam' didapati meloloskan diri melalui pagar belakang bangunan SPRM Putrajaya.

Suspek yang juga koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China ditahan polis pada 27 Oktober lalu selepas dikesan bersembunyi di sebuah pusat peranginan di Pahang.

Sumber : Berita Harian