Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

EAIC terima 27 aduan berhubung SJR tahun lalu

23 Mac 2021

TAN Sri Mahmood Adam (dua dari kiri) membuat pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya (SJR) ketika lawatan di SJR, Plaza Tol USJ hari ini. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima 27 aduan daripada orang ramai berhubung isu di sekatan jalan raya (SJR) tahun lalu.

Pesuruhjaya EAIC, Tan Sri Mahmood Adam berkata, untuk tahun ini sebanyak 12 aduan diterima setakat ini.

Menurutnya, aduan yang paling kerap diterima ialah anggota bertugas meninggikan suara ketika meminta dokumen atau bertanya soalan.

"Tetapi selepas dikenal pasti, apa yang berlaku hanya kerana salah faham.

"Mereka (petugas) mungkin meninggikan suara ketika itu kerana memakai pelitup muka ketika menyoal pengguna jalan raya atau bunyi bising kenderaan yang lalu di sekatan itu," katanya selepas melakukan lawatan rasmi ke SJR di Plaza Tol Putra Heights hari ini.

Menyifatkan jumlah aduan yang diterima itu rendah, Mahmood bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus memantau dan mengkaji aduan berkenaan bagi tujuan penambahbaikan sewajarnya.

Katanya, beberapa aduan juga sudah dikemukakan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan lanjut termasuk memberikan teguran atau nasihat kepada petugas.

Sementara itu, Mahmood berkata, lawatan bertujuan meninjau prosedur yang dilaksanakan di SJR di bawah seliaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain menyantuni petugas barisan hadapan.

Beliau berkata, lawatan itu juga bertujuan mengenal pasti cabaran dan kekangan yang dihadapi anggota PDRM di lapangan di samping menyampaikan kata semangat kepada para petugas supaya melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

Katanya, EAIC juga sedang mengkaji syor penambahbaikan berkaitan yang dikenal pasti di SJR di bawah seliaan PDRM selaras dengan fungsi EAIC di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

Sumber : Harian Metro