Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

IPCMC benteras salah laku atau alat politik?

28 Feb 2019

SURUHANJAYA Bebas Aduan Dan Salah laku Polis (IPCMC) akan diberi kuasa sepenuhnya untuk mengambil tindakan tatatertib membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia.

Adakah dengan kewujudan IPCMC ini kerajaan yakin akan memberi jaminan 100 peratus tiada lagi kesalahan tatatertib yang akan dilakukan oleh anggota Polis atau kerajaan harus merangka satu kajian yang holistik untuk mengenal pasti apakah masalah anggota polis yang melakukan kesalahan disiplin.

Agensi yang sedia ada seperti SPRM, SIAP, SUHAKAM, BPA, JIPS dan badan-badan NGO yang memainkan peranan dalam memastikan polis melaksanakan tugas mengikut landasan yang betul adakah tidak mencukupi dan apakah keperluan kerajaan hendak mewujudkan IPCMC untuk membantai pasukan Polis sahaja.

Kerajaan harus sedar bahawa isu keselamatan negara terletak di bahu pasukan Polis, kewujudan IPCMC ini akan melemahkan semangat anggota polis dalam melaksanakan tugas dengan baik. Ini kerana anggota yang bertugas di lapangan akan bertugas seperti "melepaskan batuk di tangga" kerana bimbang tohmahan dan niat jahat seseorang kepada anggota polis itu akan diambil perhatian serius oleh pihak IPCMC untuk menjalankan siasatan tatatertib walaupun anggota polis tersebut menjalankan tugas berlandaskan undang-undang.

Adakah kewujudkan IPCMC ini untuk melemahkan kuasa orang Islam kerana majoriti anggota polis beragama Islam dan secara tidak langsung orang politik bebas melakukan apa sahaja atau di sebalik kewujudan ini merupakan jalan mudah untuk mengikat polis agar mengikut telunjuk ahli politik tertentu.

Kerajaan harus sedar bahawa kesusahan dan kebajikan anggota polis seharusnya diberi keutamaan dengan memastikan semua keperluan asas telah mencukupi untuk anggota polis melaksanakan tugas harian.

Masih banyak lagi keperluan anggota polis yang tidak mencukupi seperti kemudahan berek, kenderaan rondaan, senjata api terkini, bekalan kertas, komputer, printer, menaik taraf Polis Reporting System (PRS), Membekalkan I Pad pada setiap anggota polis untuk mengesan kenderaan yang hilang di mana kenderaan yang hilang merupakan jenayah indeks yang paling tinggi di Malaysia.

Agensi yang sedia ada sudah mencukupi untuk memantau pasukan polis, dengan kewujudan IPCMC ini memberi ruang kepada orang luar untuk mendedahkan maklumat keselamatan yang ada pada pihak polis, isu keselamatan tidak boleh dipandang remeh kerana kekuatan dan kelemahan negara terletak pada pasukan keselamatan, tekanan IPCMC kepada anggota polis akan memberi ruang kepada penjenayah untuk melakukan perbuatan jenayah dan memberi impak besar kepada keharmonian negara.

Banyak sekali isu-isu berkenaan penjenayah diberi pembelaan dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib, termasuk buang kerja dan secara tidak langsung membuatkan penjenayah akan terus bermaharajalela serta melakukan aktiviti jenayah tanpa menghiraukan tindakan undang-undang. Kerana polis sudah lemah dan penjenayah boleh gunakan IPCMC sebagai alat melemahkan pasukan polis.

Kerajaan seharusnya menerokai permasalahan pasukan polis dengan mencari solusi dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, apakah peranan JAKIM yang menempatkan ustaz dan ustazah di PDRM di bahagian BAKA untuk menyuntik keimanan kepada setiap anggota polis agar bekerja dengan penuh iltizam.

Oleh itu, dalam suasana hari ini, Kerajaan PH harus menguatkan sistem keselamatan negara dengan lebih kondusif, anggota polis yang bermasalah merupakan angka yang kecil, kebajikan pegawai polis harus dijaga terlebih dahulu sebelum mewujudkan IPCMC termasuk kerajaan seharusnya menjaga etika dengan mengkaji tajaan Syarikat perjudian untuk pegawai polis menjalani apa-apa latihan dan kursus - kursus tertentu.

MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak.
ADUN Selama - HARAKAHDAILY 28/2/2019

 

Sumber : Harakah Daily