Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Kecuaian, kekerasan fizikal polis punca tahanan mati

19 Jan 2018

 

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati kematian dua tahanan di lokap polis tahun lalu berpunca daripada kecuaian pengurusan ubat dan penggunaan kekerasan fizikal oleh polis. Pengerusi EAIC, Datuk A Aziz Rahim, berkata Soh Kai Chiok, 49, mati di lokap Ibu pejabat Polis (IPD) Bera, Pahang pada 18 Januari 2017 kerana kecuaian pengurusan ubat manakala kematian S Balamurugan, 44, di lokap IPD Klang Utara, Selangor pada 7 Februari 2017 adalah akibat penggunaan kekerasan fizikal. Beliau menjelaskan, laporan bedah siasat kedua daripada Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada 18 Februari 2017 mendapati kematian Balamurugan berpunca daripada 'Coronary Artery Disease With Multiple Blunt Force Injuries'. "Laporan bedah siasat mengesahkan corak kecederaan didapati tidak ditimpakan atas diri sendiri mahupun terjadi secara kemalangan. "Suruhanjaya juga mendapati terdapat perbuatan atau perlakuan kekerasan oleh beberapa pegawai polis yang boleh dikaitkan atau menyebabkan kematian semasa dalam tahanan polis," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Pada 7 Februari 2017, Balamurugan mati ketika dalam tahanan Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Utara, selepas ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun kenderaan. Sementara itu, Kai Chiok mati pada 18 Januari 2017 semasa dalam tahanan polis di lokap Balai Polis Triang, IPD Bera, Pahang selepas ditahan atas kesalahan mencuri di sebuah kebun pisang. Aziz berkata, siasatan mendapati kematian kai Chiok disebabkan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang sedia ada kerana pihak polis gagal membawa mangsa mendapatkan rawatan di hospital. Katanya, pada hari berkenaan tahanan mengadu sakit pada jam 8.06 malam, namun perkara itu tidak diambil serius oleh pihak polis dan kecuaian pengurusan ubat terhadap tahanan memburukkan keadaan kesihatannya, malah dia dinafikan hak mendapat akses perubatan seperti yang diarahkan Hospital Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, Pahang. "Suruhanjaya juga mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di IPD Bandar Baru Klang gagal berfungsi manakala kelemahan pengurusan buku perharian di balai polis Triang menyebabkan halangan bagi mendapatkan 'bukti terbaik' dalam siasatan kedua-dua kes mangsa ini. "EAIC memandang serius insiden kekerasan terhadap tahanan dan ketidakpatuhan SOP pihak berwajib dalam melaksanakan tanggungjawab. "Kami sudah mengemukakan semua kelemahan dan ketidakpatuhan ini kepada pihak bertanggungjawab bagi penambahbaikan serta tindakan lanjut," katanya.

Source:  Berita Harian