Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Saya akan jadikan IPCMC tak relevan

4 Jul 2019

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berikrar untuk memperkasakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) polis sehingga penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dipandang tidak relevan.

Katanya, langkah itu akan dilakukan dengan membawa masuk pegawai-pegawai berwibawa bagi memperkasakan jabatan tersebut.

“Saya akan perkasakan JIPS dan pegawai berwibawa akan dibawa masuk ke dalam jabatan ini.

“Bawah IPCMC, peranan JIPS tidak dikurangkan. Sebagai ketua polis negara, saya lihat (ini) sebagai satu komponen penting, saya akan buat IPCMC itu seperti tidak relevan walaupun telah diluluskan undang-undang.

“Saya kalau boleh hendak usahakan menjadikan IPCMC tidak relevan sebab JIPS ni dari dulu sudah bertindak memperkasa pasukan,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Pada 13 Mei, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata rang undang-undang (RUU) IPCMC akan dibentang di Parlimen tahun ini bagi membolehkan IPCMC dibentuk sebelum akhir tahun ini.

Mesyuarat kedua Dewan Rakyat baru bersidang semalam manakala mesyuarat ketiga akan bersidang 7 Oktober depan.

Penubuhan IPCMC merupakan cadangan daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM yang ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 4 Februari 2004, dan diumumkan oleh perdana menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi.

Ia merupakan salah satu daripada 125 cadangan yang diusulkan suruhanjaya diraja selepas melakukan kajian selama 15 bulan seputar isu-isu dalam polis seperti salah laku, hak asasi manusia, jenayah dan rasuah dan kebajikan.

Sebelum ini, IPCMC berdepan tentangan daripada pihak polis yang mendakwa suruhanjaya itu akan menghakis kuasa polis.

Bagaimanapun, pada 10 Mei, Abdul Hamid menjelaskan kebimbangan mereka terungkai selepas polis mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Abu Kassim Mohamed bagi membincangkan tentang penubuhan IPCMC.

Abdul Hamid turut menegaskan bahawa penerimaan IPCMC perlu juga seiring dengan pembelaan kebajikan warga polis yang menurutnya tidak menerima hak yang sepatutnya daripada kerajaan selama ini.

Dalam wawancara sama, Abdul Hamid turut menyatakan beliau tidak memandang penubuhan IPCMC sebagai satu cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh PDRM seperti digambarkan sesetengah pihak.

“Saya tidak nampak halangan besar yang mengatakan IPCMC dilaksanakan nanti, akan hilang daulat PDRM. Itu adalah tidak benar dan saya yakin dengan anak buah saya.

"Apa nak takut? Buat kerja ikut peraturan undang-undang [...] Jika tidak melakukan kesalahan, usah risau dengannya (IPCMC)," katanya lagi.

Tambahnya, IPCMC merupakan medium mendidik yang baik supaya pegawai dan anggota polis menghentikan pergaulan dan hubungan dengan "pihak tidak bertanggungjawab".

"IPCMC akan jalankan peranannya untuk menangani kesalahan, jadi sedarlah sebagai warga PDRM usah lakukan kesilapan," ulasnya lagi dalam wawancara tersebut.

Sumber : Malaysiakini Online

Tarikh : 2/7/2019