Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

SUARAM kecewa kematian tahanan berulang

20 Apr 2018

SHAH ALAM, 20 APR: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) melahirkan rasa kecewa terhadap kes kematian dalam tahanan yang berulang dan ia seharusnya mendapat perhatian serius Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, kes ke atas S Thanabalan di lokap berpusat, di Shah Alam, pada 18 April lalu sepatutnya tidak berlaku kerana menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga kebajikan tahanan.

“Fenomena kematian dalam tahanan masih berterusan walaupun sudah didesak pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan dan badan berkanun seperti SUARAM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), ahli politik serta badan hak asasi seperti Majlis Hak Asasi Manusia PBB supaya menyelesaikan masalah ini.

“Sejak pelantikan KPN pada September tahun lalu, terdapat tiga kes kematian dalam lokap polis direkodkan dan ia menunjukkan tiada keseriusan daripada PDRM bagi memulihkan penyiasatan serta prosedur operasi standard. Ini sesuatu yang mengecewakan semua pihak,” katanya.

Thanabalan ditahan di Kapar, pada 29 Mac lalu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas (SOSMA) dan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Sebelum itu, SUARAM berkata, terdapat dua kes kematian lain membabitkan tahanan iaitu G Ganeshwaran di Balai Polis Klang Utara, pada 18 Disember tahun lalu dan seorang tidak dinamakan di Balai Polis Selama, pada 17 Mac lalu.

Beliau berkata, SUARAM ingin menegaskan kepada polis supaya menjalankan siasatan mengikut prosedur secara telus dan terbuka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada untuk menyiasat kematian dalam tahanan kerana didapati tiada ketelusan berhubung perkara berkaitan.

Katanya, berdasarkan peruntukan Bahagian VIII Prosiding Khas, Bab XXXII Inkuiri Kematian, Seksyen 334 jelas memperuntukkan satu inkues terhadap punca kematian dijalankan majistret apabila ia berlaku.

“Kematian kerana masalah kesihatan adalah kecuaian polis dan kebajikan tahanan sepanjang berada di dalam tahanan menjadi tanggungjawab mereka,” katanya merujuk keputusan hakim Mahkamah Tinggi, S Nantha Balan di dalam kes P Chandran, pada 9 Januari tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, SUARAM mencadangkan penggantungan Pegawai Penyiasat bagi kes Thanabalan sehingga keputusan siasatan punca kematian selesai dan KPN mengadakan mesyuarat bersama NGO bagi membincangkan serta mencari jalan menghentikan fenomena itu.

“KPN juga diminta menyokong Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) diwujudkan sebagaimana disokong Timbalan KPN sebelum ini dan seterusnya menghentikan serta menghapuskan penggunaan SOSMA, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) juga membebaskan semua tahanan jika tiada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di Mahkamah,” katanya.

Sumber: SELANGORKINI