Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Tiada bukti polis lindung kem seludup manusia di Wang Kelian, kata saksi RCI

13 Jun 2019

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat penemuan kem penyelupan manusia hari ini diberitahu tiada sebarang bukti menunjukkan polis membersihkan kawasan di mana kubur besar ditemui sehingga membinasakan banyak bukti jenayah.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Siap), A Aziz A Rahim berkata, laporan akhbar New Straits Times (NST) pada Disember 2017 tidak mempunyai fakta lengkap dan pihaknya tidak dapat membuka kertas siasatan sama ada berlakunya salah laku polis atau sebaliknya.

“Bila bawa perkara itu ke mesyuarat Siap pada Februari 2018, kita bincang dalam mesyuarat itu bahawa tidak ada bukti untuk menyokong dakwaan bahawa polis membuat ‘cover up’.

“Di sempadan (Malaysia-Thailand di Wang Kelian) itu bukan polis sahaja yang jalankan tugas. Ada pihak Kastam, Imigresen, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan askar,” katanya.

 
 
 

Aziz merupakan saksi ke-42 dalam pendengaran awam yang diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.

Saksi tampil memberi keterangan di depan 7 anggota panel RCI itu yang diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria selaku pengerusi.

Pada 20 Disember 2017, akhbar NST melaporkan hasil siasatan 2 tahun sepasukan wartawannya mendapati pihak berkuasa cuba menangguhkan pengumuman tentang penemuan kubur besar selama kira-kira 4 bulan.

NST melaporkan polis juga membersihkan kawasan di mana kubur ditemui sehingga membinasakan pelbagai bukti jenayah.

Penemuan kubur 130 mayat mangsa pemerdagangan manusia itu diumumkan pada Mei 2015 oleh ketua polis negara (KPN) ketika itu, Khalid Abu Bakar.

Bagaimanapun, NST berkata polis sebenarnya sudah pun mengetahui kewujudan kubur beramai-ramai di kawasan hutan di sempadan Thailand-Malaysia itu seawal Januari 2015.

Malah, NST turut berkata, ia terpaksa mengelak daripada melaporkan sesuatu yang dimaklumkan kepadanya oleh Khalid, sebagai memenuhi janji kepada bekas KPN itu untuk tidak menerbitkannya.

Khalid bersara September lalu selepas 40 tahun berkhidmat dalam pasukan polis.

Dalam pada itu, Aziz menjelaskan sebelum Siap memutuskan untuk menyiasat dakwaan laporan NST, beliau ada memanggil 2 wartawan akhbar berbahasa Inggeris itu untuk mendapatkan maklumat.

Katanya, selepas mendapatkan maklumat itu, beliau berbincang dengan polis dan atu keputusan dibuat dalam mesyuarat suruhanjaya pada Februari 2018.

“Lepas bincang dengan polis kita bawa ke mesyuarat Siap dan keputusan dibuat oleh suruhanjaya, bukan pengerusi.

 

“Ahlinya masa itu ada 6 orang, iaitu 2 peguam, 1 ahli akademik dari Universiti Sarawak, seorang bekas ahli Suhakam dan seorang lagi bekas timbalan ketua pengarah perkhidmatan awam bahagian penjawatan dan saya,” katanya.

Aziz juga berkata, beliau tidak dapat menentukan sama ada lapor oleh wartawan NST itu benar atau tidak.

Beliau berkata, dalam perjumpaan dengan 2 wartawan NST itu hanya menanyakan daripada mana mereka mendapat maklumat tersebut.

“Tetapi nampaknya mereka dapat daripada anggota polis dan orang awam.

“Kita tidak tahu setakat mana cerita orang awam mengenai Wang Kelian itu fakta,” katanya.

Sumber : Free Malaysia Today