Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Zahid minta polis jangan buat operasi bayaran saman

9 Jun 2017

zahid-saman

PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta polis tidak mengadakan operasi menjejaki pesalah trafik untuk mendesak mereka membayar saman tertunggak buat sementara waktu kerana kerajaan memahami tekanan hidup rakyat.

Timbalan perdana menteri yang dipetik Kwong Wah Daily berkata, sebanyak 1.4 juta daripada keseluruhan 5.3 juta saman berjumlah RM600 juta yang dikeluarkan tahun lalu belum dijelaskan pesalah trafik.

“Ketua polis negara serta pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik meminta saya membenarkan polis mengutip denda daripada pesalah trafik.

“Saya kata jangan dulu…kerajaan tahu rakyat ketika ini tertekan dengan pelbagai keperluan lain,” katanya pada Majlis Penerapan Nilai Murni di Bulan Ramadan di Pusat Latihan Polis, semalam.

Menteri dalam negeri itu turut mengingatkan rakyat supaya mematuhi peraturan jalan raya, jika tidak mahu disaman.

Polis pernah mengadakan Operasi Waran Tangkap Trafik (Op Warta) dengan melakukan sekatan jalan raya serta pergi ke pejabat atau rumah untuk memburu dan menahan pesalah trafik yang gagal melangsaikan saman tertunggak atau mempunyai waran tangkap.

Sumber : Free Malaysia Today