Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Pesuruhjaya


KEANGGOTAAN

Keanggotaan Suruhanjaya adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri. Lantikan ini adalah adalah tidak lebih daripada 7 Pesuruhjaya, yang terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan lima Pesuruhjaya. Keanggotaan ini adalah bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun dan setiap anggota tidak boleh memegang jawatan melebihi dua tempoh yang berturut-turut selaras dengan seksyen 7(1) Akta 700.

PESURUHJAYA

Pada 1 November 2017 Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V  telah memperkenankan lantikan enam (6) orang Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga (3) tahun.

Pengerusi dan Pesuruhjaya EAIC yang telah dilantik pada penggal ketiga ini adalah seperti berikut:

 
  • YBhg. Dato’ A. Aziz A. Rahim
  • YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff
  • Y.Brs. Puan Leong May Chan
  • Y.Brs. Encik Lee Sow Siong
  • YBhg. Dato’ Sabariah Hassan
  • Y.Brs. Encik James Nayagam
  • X YBhg. Dato’ A. Aziz A. Rahim (Pengerusi)

    YBhg. Dato’ A. Aziz A. Rahim mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perundangan dan kehakiman di Malaysia. Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Malaya dan seterusnya memperoleh Sarjana Undang-Undang daripada King’s Collage, Universiti of London, United Kingdom. Beliau juga memperoleh Certified in Legislative Drafting daripada Royal Institute of Public Administration (RIPA), London, United Kingdom

    Beliau telah memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir Am di Jabatan Perkhidmatan Awam, Malaysia pada tahun 1972 hingga tahun 1975. Pada tahun 1975, beliau kemudiannya telah dilantik menjadi Majistret di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah seterusnya Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur.

    Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah dilantik sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Muar, Penasihat Undang-Undang Jabatan Perkhidmatan Awam, Pegawai Undang-Undang Kementerian Pertahanan Malaysia dan Penolong Penggubal Undang-Undang, Ketua Unit Penyelidikan serta Timbalan Ketua Bahagian Sivil di Jabatan Peguam Negara. Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, dan Penasihat Undang-Undang di Jabatan Kemajuan Islam, Jabatan Perdana Menteri.

    Pada Mei 2003, beliau telah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan ditempatkan di Mahkamah Tinggi Miri, Sarawak. Pada Disember 2004, beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan ditempatkan di Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak. Pada April 2009, beliau telah ditukarkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Seterusnya pada April 2012, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan beliau sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sehingga bersara pada Mac 2016. Sejurus selepas persaraan beliau pada Jun 2016, beliau telah dilantik sebagai Pakar Penasihat Jabatan Peguam Negara. Pada 1 November 2017, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YBhg. Dato’ A. Aziz A. Rahim sebagai Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan untuk tempoh 3 tahun.

    X YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff (Timbalan Pengerusi)

    YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff pada waktu ini adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI). Beliau sebelum ini adalah merupakan Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah bertugas selama 12 tahun (1993-2005) dengan United Nations Development Programme (UNDP) dan jawatan terakhir beliau di situ adalah sebagai Asisten Wakil Residen di Malaysia. Pada waktu beliau bertugas dengan UNDP, beliau juga pernah dipinjamkan sebagai Pakar Program Pembangunan untuk United Nations Volunteers (UNV) di ibu pejabat UNV di Bonn, Jerman.

    YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pengasas Sektor Politik di Institut Integriti Malaysia antara tahun 2005-2008. Semasa di INTEGRITI, beliau telah menghasilkan beberapa buah buku yang mengupas isu integriti di Malaysia. Senarai buku karangan beliau boleh dilihat di http://ukm.academia.edu/anisyusoff.

    Di atas sumbangan beliau dalam kerja-kerja mengenai governans dan integriti ini, beliau telah di lantik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebagai salah seorang ahli Panel Penasihat untuk Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dua penggal, 2009-2010 dan 2011-2012. YBhg Datuk Dr. Anis Yusal juga pernah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Penasihat Jawatankuasa Eksekutif Transformasi SPRM mengenai kerja-kerja pencegahan. Selain dari penumpuan kepada bidang governans dan integriti, beliau juga pernah dilantik sebagai ahli Panel Penasihat untuk Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan sebagai ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara. Pada tahun 2015, beliau telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pegesahan Sijil Latihan Pegawai Integriti oleh Akademi SPRM dan terbaru, Ybhg Datuk Dr. Anis Yusal telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Editorial untuk Journal of Governance & Integrity.

    Beliau mempunyai pendidikan Ph.D dari UKM dan MSc. dari Syracuse University, Syracuse, New York. YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 15 Oktober 2014 sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga tahun.

    Pada 1 November 2017, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff sebagai Timbalan Pengerusi EAIC untuk tempoh tiga tahun.

    X Y.Brs. Puan Leong May Chan (Pesuruhjaya)

    Y.Brs. Puan Leong May Chan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang- Undang (LL.B) dan Sarjana Undang- Undang (LL.M) dari Universiti Malaya. Beliau merupakan Peguam Cara, Peguam Bela dan pemilik Firma Guaman Tetuan May Leong & Co. serta Pesuruhjaya Sumpah di firma yang sama.

    Y.Brs. Puan Leong May Chan juga merupakan ahli Panel Tribunal Penyiasatan, Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam. Beliau pernah dilantik sebagai Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia hingga tahun 2010 dan turut dilantik sebagai Penyelidik Undang-undang di Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia pada tahun 2005. Pada tahun 2007 beliau dilantik sebagai Ahli Panel Jawatankuasa Tatatertib di bawah Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam selama dua tahun.

    Pada 1 November 2017, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Y.Brs. Puan Leong May Chan sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga tahun.

    X Y.Brs. Encik Lee Sow Siong (Pesuruhjaya)

    Y.Brs. Encik Lee Sow Siong merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang- Undang daripada University of East London. Beliau merupakan Peguam Cara dan Peguam Bela selama hampir 17 tahun dan menjadi rakan kongsi di Firma Guaman KF Wong dan Lee. Beliau juga merupakan ahli Panel Tribunal Penyiasatan, Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam.

    Y.Brs. Encik Lee Sow Siong aktif dalam Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan beberapa badan sukarela. Beliau telah menyandang beberapa jawatan iaitu Pengerusi Persatuan Murid Murid Tua, Sekolah Tinggi Chung Hua, Seremban dan kemudian sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Tinggi Chung Hua, Seremban. Beliau turut berkhidmat sebagai Bendahari, SRJK (C) Chung Hua, Seremban, Penasihat Undang-Undang kepada banyak badan sukarela seperti Persatuan Murid Murid Tua SRJK (C) Kuo Min Seremban, Persatuan Bekas Murid SRJK (C) Chun Ying, Titi, Jelebu, Persatuan Penganut Chee Yin Tong, Titi, Jelebu, Persatuan Toong Onn Seremban, Negeri Sembilan, Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Negeri Sembilan dan Negeri Melaka, Persatuan Kebajikan Kim Lan, Jelebu,Negeri Sembilan, Tokong Foot Sen, Petaling, Jelebu dan beberapa persatuan lain di Negeri Sembilan.

    Pada 1 November 2017, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Y.Brs. Encik Lee Sow Siong sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga tahun.

    X YBhg. Dato’ Sabariah Hassan (Pesuruhjaya)

    YBhg. Dato’ Sabariah Hassan merupakan seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Pengurusan Kesihatan dari Universiti Birmingham, United Kingdom.

    Beliau mempunyai pengalaman luas di dalam perkhidmatan awam terutamanya bahagian operasi. Memulakan karier sejak tahun 1981 sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Kewangan sehingga tahun 1989, beliau kemudian dilantik sebagai Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Pembangunan Organisasi) di Jabatan Perkhidmatan Awam selama 8 tahun sehingga tahun 1997, Penolong Setiausaha (Bahagian Sumber Manusia) di Kementerian Kesihatan sehingga tahun 2009 dan kemudian menyandang jawatan Penolong Setiausaha Kanan (Bahagian Operasi) di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sehingga tahun 2011.

    YBhg. Dato’ Sabariah seterusnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Bahagian Operasi) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama 3 tahun bermula dari tahun 2011 sehingga 2014 sebelum beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Ketua Setiausaha pada tahun 2014.

    Pada tahun 2016, beliau telah kembali berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam dengan menyandang jawatan terakhir sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Operasi) dari tahun 2016 sehingga 2017.

    Beliau telah dikurniakan Darjah Ahli Mangku Negara (A.M.N) pada tahun 2002 diikuti dengan Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2008. Beliau kemudian dikurniakan pingat Johan Mangku Negara (J.M.N) pada tahun 2014.

    Pada 1 November 2017, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YBhg. Dato’ Sabariah Hassan sebagai Pesuruhjaya EAIC untuk tempoh tiga tahun.

    X Y.Brs. Encik James Nayagam (Pesuruhjaya)

    YBrs. Encik James Nayagam adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti London dan Ijazah Sarjana Sains dari Universiti Leicester, United Kingdom.

    Beliau adalah seorang aktivis yang gigih di dalam memperjuangkan hak asasi manusia. Kegigihan beliau dapat dilihat melalui tertubuhnya Shelter Home di mana beliau merupakan salah seorang pengasas kepada badan kebajikan tersebut pada tahun 1981.

    Melalui Shelter Home, beliau telah terlibat di dalam menjalankan Kerja Pembangunan Pendidikan Penjara khusus kepada pesalah Juvana di Penjara Kajang pada tahun 2005. Program mendidik pesalah Juvana selama dua tahun ini telah mendapat sambutan baik daripada penghuni penjara dan pihak berkuasa penjara.

    Melihatkan kepada kegigihan dan kesungguhanny dalam memperjuangkan hak asasi manusia, YBrs. Encik James Nayagam telah dilantik sebagai salah seorang Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dari tahun 2010 sehingga tahun 2016.

    Pada 1 November 2017, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YBrs. Encik James Nayagam sebagai Pesuruhjaya EAIC untuk tempoh tiga tahun.