Aduan_Tertinggi.png

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mencatat jumlah aduan tertinggi diterima Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sepanjang tahun 2024 dengan 58 aduan diterima.

Selain JIM, antara agensi lain yang menerima aduan tertinggi ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan 19 aduan diikuti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan 16 aduan.

Pegawai Undang-Undang, Bahagian Operasi EAIC, Nura Ashikin Mior Muhamad berkata, secara keseluruhannya, EAIC menerima 408 aduan sepanjang tahun 2024, mencerminkan tahap keprihatinan rakyat yang semakin tinggi terhadap isu ketelusan dan akauntabiliti agensi kerajaan.

Pn_Nura.png

Menurutnya, dari jumlah keseluruhan aduan yang diterima, sebanyak 176 fail aduan telah dibuka, manakala 129 kes telah melalui penyiasatan awal.

“Daripada jumlah tersebut, 32 kes telah disiasat secara penuh, sementara 47 kes dirujuk kepada pihak berwajib, termasuk Ketua Jabatan atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),”katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelasnya, sebanyak 232 aduan lain membabitkan agensi di luar bidang kuasa EAIC, tetapi tetap diteliti dan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Aduan untuk tindakan lanjut.

“Ini menunjukkan usaha EAIC dalam memastikan setiap aduan yang diterima mendapat perhatian sewajarnya.

“Peningkatan jumlah aduan ini bukanlah semata-mata petunjuk kelemahan sesebuah agensi tetapi lebih kepada peluang untuk menambah baik sistem sedia ada.

“Setiap aduan dijadikan sebagai pengajaran untuk memperbaiki mutu perkhidmatan serta mengukuhkan integriti dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Selain mengendalikan aduan yang diterima, EAIC turut menjalankan beberapa siasatan atas inisiatif sendiri, selaras dengan peruntukan Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta 700.

Tambahnya, Inisiatif ini memberi kuasa kepada EAIC untuk menjalankan penyiasatan lebih menyeluruh terhadap isu-isu tertentu yang memerlukan perhatian segera.

“Antara kes utama yang disiasat termasuk pindah milik vesel nelayan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), pembolosan warga asing di Depot Tahanan JIM Bidor, serta skandal visa perubatan yang melibatkan warganegara asing.

"Kes-kes ini menunjukkan kesungguhan EAIC dalam menangani salah laku dalam agensi kerajaan,” ujarnya.

Di samping itu, EAIC juga menubuhkan pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan terhadap isu kritikal yang mendapat perhatian masyarakat.

Ini termasuk siasatan terhadap pengendalian tahanan di depot imigresen, kelemahan pematuhan SOP oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), serta pelepasan kontena e-waste oleh Jabatan Alam Sekitar.

Nura Ashikin berkata, setiap siasatan yang dijalankan memberi fokus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP), selain memastikan agensi terlibat mengambil langkah penambahbaikan dalam sistem mereka.

“Tindakan ini bertujuan memastikan kesalahan yang sama tidak berulang di masa hadapan.

"Setiap aduan yang diterima bukan sekadar angka tetapi peluang untuk memperbaiki sistem bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang lebih berkesan dan berintegriti," katanya.

Mengulas mengenai peningkatan jumlah aduan yang diterima EAIC, ia membuktikan masyarakat semakin peka terhadap peranan dan tanggungjawab agensi penguatkuasaan dalam menjaga keselamatan serta kepentingan awam.

“Masyarakat tidak lagi sekadar menjadi pemerhati tetapi berani tampil menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sebarang salah laku,” katanya.

Sehubungan itu, EAIC menggalakkan lebih banyak pihak tampil melaporkan sebarang salah guna kuasa atau ketidakadilan dalam penguatkuasaan undang-undang.

Mekanisme aduan yang lebih telus dan berkesan akan terus diperbaiki bagi memastikan setiap laporan yang diterima diambil tindakan sewajarnya.

Dalam usaha memperkukuh ketelusan dan integriti, EAIC turut menekankan kepentingan latihan dan pendidikan kepada anggota penguat kuasa bagi meningkatkan profesionalisme dalam menjalankan tugas mereka.

Ujarnya, EAIC juga menegaskan bahawa mereka akan terus memantau dan mengkaji semula pelaksanaan prosedur operasi dalam agensi-agensi terbabit bagi mengenal pasti kelemahan dan menambah baik sistem sedia ada.

INFO

Statistik Aduan EAIC Tahun 2024

Jumlah keseluruhan aduan diterima: 408

Jumlah fail aduan dibuka: 176

Jumlah penyiasatan awal: 129

Jumlah penyiasatan penuh: 32

Jumlah aduan dirujuk kepada agensi lain (SPRM, Ketua Jabatan, dll.): 47

Jumlah aduan di luar bidang kuasa EAIC: 232

Aduan Mengikut Agensi Penguatkuasaan (5 Tertinggi):

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM): 58 aduan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ): 19 aduan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM): 16 aduan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM): 16 aduan

Jabatan Perikanan (DOF): 12 aduan

Siasatan Khas Oleh EAIC (2024):

Kes pindah milik vesel nelayan (Jabatan Perikanan Malaysia)

Kes pembolosan warga asing (Depot Tahanan JIM Bidor)

Kes pembuangan sisa e-waste (Jabatan Alam Sekitar)

Kes skandal visa perubatan (Jabatan Imigresen Malaysia

SUMBER : Sinar Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.