KEANGGOTAAN PESURUHJAYA

Keanggotaan Pesuruhjaya EAIC selaras dengan peruntukan subseksyen 5(1) Akta 700 yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik tidak lebih daripada tujuh Pesuruhjaya, yang daripadanya hendaklah ada seorang Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi, bagi apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat yang dinyatakan dalam surat cara pelantikan.

Keanggotaan ini adalah bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun dan setiap Pesuruhjaya tidak boleh memegang jawatan melebihi dua tempoh yang berturut-turut selaras dengan subseksyen 7(1) dan (2) Akta 700.

Pelantikan Pesuruhjaya Penggal Keempat berkuat kuasa mulai 1 Julai 2020 hingga kini terdiri daripada:

  1. YBhg. Tan Sri Sidek Hassan (Pengerusi);
  2. YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali (Timbalan Pengerusi);
  3. YBhg. Tan Sri Mahmood Adam (Pesuruhjaya);
  4. YBhg. Tan Sri Dato' Wira Aziah Ali (Pesuruhjaya);
  5. YBhg. Dato' Alizatul Khair Osman Khairuddin (Pesuruhjaya);
  6. YBhg. Dato' John Louis O'hara (Pesuruhjaya); dan
  7. YBrs. Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod (Pesuruhjaya).
 
YBhg. Tan Sri Sidek Hassan
 
 
YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali
 
YBhg. Tan Sri Mahmood Adam
YBhg. Tan Sri Dato' Wira Aziah Ali
YBhg. Dato' Alizatul Khair Osman Khairuddin
 
YBhg. Dato' John Louis O'hara
 
YBrs. Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hari Ini 53

Semalam 283

Minggu Ini 336

Bulan Ini 1560

Keseluruhan 4290

PENGERUSI

sidek

YBHG. TAN SRI SIDEK HASSAN telah diperkenan pelantikannya sebagai Pengerusi EAIC oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI berkuat kuasa mulai 1 Julai 2020 untuk tempoh tiga tahun.

YBhg. Tan Sri Sidek Hassan ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) (Pentadbiran Awam) (1974) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (M.B.A) dari Southern New Hampshire University (1984). Pada tahun 2001, beliau juga telah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School.

YBhg. Tan Sri Sidek Hassan telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik selama 38 tahun dengan tempoh enam tahun terakhir perkhidmatannya adalah sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) sehingga beliau berusia 61 tahun pada 24 Jun 2012. Sebagai KSN, beliau adalah Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), institusi yang terlibat secara aktif dalam penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam tahun 2009, serta Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711].

Memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam pada 15 April 1974 sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MITI), beliau mempunyai pengalaman yang luas di MITI dan pernah bertugas di Pejabat MITI di Tokyo (Jepun), Sydney (Australia) dan Washington D.C (Amerika Syarikat). Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) pada 19 Januari 2001 dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 24 Oktober 2004.

Beliau turut menerajui beberapa institusi pengajian tinggi iaitu sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 2008 hingga 2013 dan sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dari tahun 2012 hingga 2018.

YBhg. Tan Sri Sidek Hassan ialah mantan Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), jawatan tersebut disandang dari Julai 2012 hingga Jun 2018.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi KLCC Property Holdings Berhad, KLCC REIT Management Sdn. Bhd. dan KLCC Holdings Sdn. Bhd. YBhg. Tan Sri Sidek Hassan juga telah dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada tahun 2016 hingga 2018. Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Top Glove Corporation Berhad dan juga Malayan Flour Mill Berhad.

TIMBALAN PENGERUSI

sidek

YBHG. TAN SRI DATUK ZAINUN ALI ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) (Kepujian), Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Undang-Undang (LL.M) University of Cambridge, United Kingdom (1984).

YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali menyandang pelbagai jawatan dalam bidang perundangan dan kehakiman sepanjang kariernya sejak tahun 1976. Beliau berkhidmat sebagai Pendaftar Syarikat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Oktober 1990. Pada November 1994, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pendaftar di Mahkamah Persekutuan Malaysia dan kemudiannya dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada Ogos 1996. Pada tahun 2012, YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali merupakan ahli organisasi International Association of Women Judges yang berpusat di Washington D.C, Amerika Syarikat.

YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali adalah antara 10 orang Hakim Ahli Lembaga Penasihat Rangkaian Integriti Kehakiman Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Global Judicial Integrity Network) yang berusaha untuk meningkatkan integriti kehakiman di seluruh dunia.

YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali dilantik sebagai Pengerusi, Lembaga Pengarah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada tahun 2019. Beliau juga ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada tahun yang sama.

YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali dilantik sebagai ahli Administrative Tribunal di Islamic Development Bank, Jeddah pada tahun 2021. Beliau juga seorang penimbang tara di bawah Asia International Arbitration Centre (AIAC).

Berkuat kuasa mulai 1 Julai 2020, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI telah memperkenan pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi EAIC untuk tempoh tiga tahun.

PESURUHJAYA

sidek

YBHG. TAN SRI MAHMOOD ADAM ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera (B.A.)(Kepujian), Universiti Malaya (1976).

YBhg. Tan Sri Mahmood Adam memulakan khidmat sebagai Pegawai Tadbir Am di Jabatan Imigresen Malaysia pada tahun 1976 dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik di beberapa agensi Perkhidmatan Awam persekutuan lain iaitu Kementerian Pertahanan (1981), Jabatan Perkhidmatan Awam (1986), Jabatan Perdana Menteri (1992) dan Kementerian Luar Negeri (1996). YBhg. Tan Sri Mahmood Adam berpengalaman berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia di Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2003 dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia pada tahun 2006.

YBhg. Tan Sri Mahmood Adam turut menyandang beberapa jawatan eksekutif dalam Perkhidmatan Awam iaitu sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pentadbiran) di Kementerian Pertahanan (2007), Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (2008), Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (2009) dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 2012 hingga 2015.

Beliau telah diperkenan pelantikan sebagai Pesuruhjaya EAIC oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI berkuat kuasa mulai 1 November 2020 untuk tempoh tiga tahun.

PESURUHJAYA

sidek

YBHG. TAN SRI DATO' WIRA AZIAH ALI ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian), Universiti Malaya (1976).

YBhg. Tan Sri Dato' Wira Aziah Ali memulakan profesion perundangan dan kehakiman sejak tahun 1976 di Kementerian Pertahanan, Jabatan Peguam Negara (1978) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (1988). Seterusnya, beliau dilantik sebagai Hakim Kanan Mahkamah Sesyen, Negeri Sembilan (1992), Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya (1994) dan bertugas sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan pada tahun 2001 sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) pada tahun yang sama.

YBhg. Tan Sri Dato' Wira Aziah Ali kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2007, Hakim Mahkamah Rayuan pada 2011 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2016.

YBhg. Tan Sri Dato' Wira Aziah Ali dilantik menganggotai Jawatankuasa Rayuan Securities Industry Dispute Resolution Center (SIDREC) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 1 September 2020.

Beliau telah diperkenan pelantikan sebagai Pesuruhjaya EAIC oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI berkuat kuasa mulai 1 November 2020 untuk tempoh tiga tahun.

PESURUHJAYA

sidek

YBHG. DATO' ALIZATUL KHAIR OSMAN KHAIRUDDIN ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Malaya (1976) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang, di London School of Economics, University of London, United Kingdom (1982).

YBhg. Dato' Alizatul Khair Osman Khairuddin berpengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman sejak tahun 1976. Bermula sebagai Penasihat Undang-Undang di Kementerian Pendidikan pada tahun 1984, kemudian di Jabatan Peguam Negara sebagai Timbalan Ketua Bahagian Guaman pada tahun 1995 dan Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang pada tahun yang sama.

YBhg. Dato' Alizatul Khair Osman Khairuddin kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam (2003), Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam (2004), Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (2008) dan Hakim Mahkamah Rayuan (2011) sehingga dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada tahun 2017 sehingga 2019.

Beliau telah diperkenan pelantikan sebagai Pesuruhjaya EAIC oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI berkuat kuasa mulai 1 November 2020 untuk tempoh tiga tahun.

PESURUHJAYA

sidek

YBHG. DATO' JOHN LOUIS O'HARA ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari King's College, University of London (1974) dan Barrister-at-Law dari Lincoln's Inn, London (1976).

YBhg. Dato John Louis O'Hara berpengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman. Beliau memulakan karier sebagai Majistret Mahkamah Majistret Kuala Lumpur (1976-1977), Timbalan Pendakwa Raya (1977-1982), Peguam Kanan Persekutuan, Bahagian Penasihat dan Antarabangsa Jabatan Peguam Negara (1982-1988) dan Penasihat Undang-Undang, Kementerian Pertahanan (1988-1992).

Setelah itu, beliau dilantik sebagai Hakim Kanan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu (1992-1994), Penasihat Undang-Undang Kementerian Luar Negeri (1994-1999), Timbalan Ketua Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara (1999) dan Pengerusi Mahkamah Perindustrian (2000-2001). Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat, Jabatan Perdana Menteri (2002-2003) dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa di Jabatan Peguam Negara (2003-2005).

YBhg. Dato' John Louis O'Hara kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (2005-2007), Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (2007-2010) dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2011 sehingga beliau bersara pada 2017.

Berkuat kuasa mulai 1 Julai 2020, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI telah memperkenan pelantikan YBhg. Dato' John Louis O'Hara sebagai Pesuruhjaya EAIC untuk tempoh tiga tahun.

PESURUHJAYA

sidek

YBRS. PROF. DR. NIK AHMAD KAMAL NIK MAHMOD ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya (1986) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang King's College, University of London, England (1988), Diploma Syariah Latihan dan Amalan UIAM (1991) dan Ijazah Doktor Falsafah, University of Aberdeen, Scotland (1995).

Memulakan karier di UIAM pada tahun 1986, YBrs. Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkhidmat sebagai tutor sebelum dilantik sebagai pensyarah pada tahun 1988. Selain berkhidmat sebagai pensyarah, beliau turut memegang jawatan pentadbiran dalam pengurusan akademik dan hal ehwal pelajar. Beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti, Timbalan Dekan Fakulti dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar). Beliau seterusnya dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang, UIAM dari tahun 2012 hingga tahun 2016.

Di samping itu, beliau pernah menganggotai beberapa jawatankuasa penting dalam UIAM termasuk Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Peraturan dan Pengawalan Pengurusan, Pengerusi Jawatankuasa Akaun Amanah bagi Akaun Amanah Kakitangan Mungkir Kontrak (T-118-0001), Ahli Jawatankuasa Disiplin (Kakitangan dan Pelajar), Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tadbir Urus Baik, Ahli Pasukan Teras Perancangan Strategik dan Ahli Jawatankuasa Integriti Akademik.

Di peringkat kebangsaan, beliau pernah menjadi Ahli Majlis Dekan-Dekan Undang-Undang Malaysia, Majlis Dekan Pasca Siswazah Kebangsaan, Pengerusi Standard Kerangka Kelayakan Malaysia untuk Program Kurikulum Undang-Undang dan Syariah. Beliau ialah Pemeriksa Luar untuk Program Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau juga seorang Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).

Pada 1 Julai 2020, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI telah memperkenan pelantikan YBrs. Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod sebagai Pesuruhjaya EAIC untuk tempoh tiga tahun.