JOHOR BAHARU, 15 Mei (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor menumpaskan cubaan menyeludup keluar 131 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) oleh tiga tekong warga Indonesia di P erairan Teluk Ramunia, Pengerang awal Khamis. Komandernya, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, dua bot ronda pasukan itu telah mengesan sebuah bot berkuasa tinggi dalam keadaan mencurigakan pada pukul 1.00 pagi tadi dalam Ops Pensura. "PPM telah mengejar bot pancung itu selama 20 minit sebelum berjaya memintas dan menahannya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Hasil pemeriksaan ke atas bot yang dilengkapi empat enjin sangkut 200 kuasa kuda setiap satu itu, pasukannya menahan 113 lelaki termasuk tekong dan 21 wanita berusia dalam lingkungan 17 hingga 65 tahun yang berada di dalam bot itu. Kesemua PATI kini ditempatkan di Pusat Tahanan Imigresen, Pekan Nenas dan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 200 2, iaitu cuba keluar dari Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan dan Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(4) akta yang sama, masing - masing kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan berada di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan. Tekong - tekong yang ditahan itu disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). Sementara itu, Kiu berkata sehingga hari ini PPM Wilayah 2 Johor telah menahan seramai 636 PATI yang melibatkan 28 kes tangkapan di bawah Ak ta Imigresen dan lapan daripadanya di bawah ATIPSOM. Beliau berkata pihaknya akan mempertingkatkan rondaan di kawasan perairan terutamanya di Kota Tinggi menjelang bulan Ramadhan dan Syawal nanti. Sumber : BERNAMA
Polis Marin Johor Tumpas Cubaan Seludup Keluar PATI Di Teluk Ramunia
- Butiran
- 636