KUALA LUMPUR 17 Jun - Kerajaan perlu mewujudkan sebuah pam minyak khusus untuk warga asing di setiap stesen minyak di kawasan sempadan selain melaksanakan had kuota pembelian bahan bakar itu bagi mengelakkan penyelewengan. Ahli Gabungan Gagasan Anti Seleweng Subsidi (GASS), Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, tindakan tersebut perlu supaya warga asing di sempadan seperti di Johor, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak tidak sewenang-wenangnya membeli bahan bakar bersubsidi yang sepatutnya hanya dinikmati rakyat negara ini. "Selain mengkhususkan pam minyak, kita mencadangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan sistem baharu menggunakan kad pengenalan bagi mengawal had pembelian bahan bakar itu. "Ketirisan minyak dan diesel bersubsidi ini banyak berlaku di kawasan sempadan. Jadi, dengan adanya penggunaan kad pengenalan ini, kita dapat mengesan jika terdapat individu tidak bertanggungjawab membeli bekalan tersebut melebihi had yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Baru-baru ini, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad mengumumkan pihaknya akan melaksanakan had kuota bagi stesen minyak yang berada di sempadan dalam masa terdekat bagi menyekat pembelian bahan api secara berlebihan sekali gus mengekang aktiviti penyelewengan. Dalam pada itu, Fakhrul Azman menjelaskan, selain pemantauan di setiap stesen minyak, pengawasan ke atas nelayan yang turun ke tengah laut juga perlu dilakukan oleh semua agensi penguat kuasa. "Kerjasama antara pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa dalam melakukan pengawasan secara menyeluruh amat diperlukan supaya dapat mengekang aktiviti penyeludupan bahan bakar ke negara asing," katanya. Sumber : Utusan
Wujud pam khusus warga asing
- Butiran
- 588