SEPANG: Jabatan Imigresen mengesahkan wajah kedua-dua penumpang yang menggunakan pasport palsu untuk menaiki pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing sepadan dengan gambar dalam pasport yang dibawa.
Ketua Pengarahnya, Aloyah Mamat berkata, kedua-dua penumpang itu yang menggunakan pasport milik warganegara Austria, Christian Kozel dan warganegara Itali, Luigi Maraldi berjaya melepasi pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pegawai bertugas berpuas hati dengan pemeriksaan yang dijalankan.
Katanya, kedua-dua penumpang yang menggunakan pasport curi itu juga mempunyai tempoh visa sosial masih sah ketika diperiksa.
"Pegawai Imigresen yang bertugas pada waktu itu telah mematuhi semua proses operasi prosedur standard (SOP) ketika pemeriksaan dibuat dan didapati wajah mereka sama dengan gambar dalam pasport yang diperiksa.
"Pada masa sama, kedua-dua penumpang itu juga mempunyai visa sosial yang sah selama 90 hari iaitu dari 28 Februari hingga 28 Mei ini," katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di sini hari ini.
Beliau berkata, penumpang yang menggunakan pasport warganegara Austria itu dikesan memasuki ke negara ini pada 28 Februari lalu pukul 8.28 malam, menggunakan pasport Austria bernombor P2979523 di kaunter Imigresen, K42, KLIA.
Aloyah berkata, penumpang itu juga menggunakan pasport yang sama ketika pemeriksaan di kaunter Imigresen, K30, KLIA pada pukul 10.07 malam Jumaat lalu bersama pas masuk oleh pegawai bertugas.
Mengulas mengenai penumpang yang menggunakan pasport warganegara Itali pula, beliau berkata, penumpang itu yang mendakwa tiba dari Phuket, Thailand menggunakan pesawat Qatar Airways 849 masuk ke negara ini pada pukul 8.31 malam 28 Februari lalu dan menjalani pemeriksaan di kaunter Imigresen, K49 dengan menggunakan pasport Itali, YA318917.
"Penumpang ini kemudian menjalani pemeriksaan di kaunter Imigresen, K31 pada Jumaat lalu pada pukul 10.43 malam dan selepas diperiksa dengan rapi, pegawai berkenaan melepaskannya.
"Selain itu, SOP Imigresen juga menanyakan soalan relevan terutama tujuan ke negara ini sebelum mereka dilepaskan," katanya.
Mengulas mengenai sistem biometrik, Aloyah berkata, sistem tersebut tidak dapat mengesan identiti kedua-dua penumpang itu berikutan mereka tidak pernah memasuki Malaysia sebelum ini.
Sumber: Utusan