LANGKAWI 6 Julai - Kegagalan sesebuah organi­sasi kerajaan atau badan korporat dalam mengenal pasti risiko integriti boleh mengakibatkannya mengalami ketirisan dari segi operasi, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata, proses mencapai objektif sesebuah organisasi juga akan terganggu sekiranya risiko, yang merupakan unsur penting dalam pelan integriti, gagal dinilai dan ditangani dengan berkesan.
“Terdapat organisasi yang dika­tegorikan sebagai organisasi berisiko rendah di bawah penilaian risiko, tetapi ini tidak bermakna isu integriti boleh dipandang ringan kerana risiko tetap wujud,” katanya.
Abu Kassim berkata demikian ketika merasmikan Hari Integriti dan Ikrar Integriti Korporat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), di sini hari ini.

Menurut beliau, penilaian risiko membolehkan kepimpinan sesebuah organisasi menggubal strategi bagi mengelak wujudnya amalan yang boleh melencongkan mereka daripada mencapai objektif yang ditetapkan.
Abu Kassim berkata, pelan integriti organisasi tidak sepatutnya dilaksanakan secara berasingan daripada pelan strategik kerana kedua-dua pelan itu perlu menjurus kepada arah tuju sama.

Menurut beliau, terdapat organi­sasi yang menghadapi masalah untuk menggabungkan pelan integriti dengan agenda strategik masing-masing, tetapi perkara ini akan segera dapat diatasi sebaik sahaja mereka sedar tentang hubungan yang wujud antara kedua-duanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Ek­se­kutif LADA, Tan Sri Khalid Ram­li berkata, pelaksanaan ikrar dan pelan integriti itu, yang akan berkuat kuasa selama dua tahun mulai tahun ini, mencerminkan kesunguhan LADA untuk mencegah amalan salah dalam organisasi itu.

“Pelan ini akan menjadi asas dalam memastikan LADA me­nyampaikan perkhidmatannya de­ngan cekap dan bersih, sejajar de­ngan pelan transformasi kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.