JOHOR BAHARU, 5 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen akan memantapkan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan keluar secara haram dari sempadan Malaysia-Singapura di Johor Baharu yang dikesan menjadikan laluan keretapi sebagai lorong tikus.

Ketua Pengarahnya Datuk Mustafa Ibrahim berkata setakat ini pihaknya telah melakukan beberapa serbuan dan menahan 54 individu yang cuba menyusup keluar melalui landasan kereta api Johor Baharu-Singapura untuk ke tempat kerja di republik berkenaan.

"Buat masa ini, kita ambil langkah pencegahan bagi memberi pengajaran, namun, tindakan tegas akan dikenakan selepas ini supaya orang ramai tidak mengambil jalan mudah," katanya.

Mustafa berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerapan nilai murni dan pengagihan juadah berbuka di laluan bas Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, malam tadi.

Beliau berkata dalam beberapa siri serbuan dua hari lepas, tiga individu ditahan kerana menggunakan jalan pintas untuk ke seberang tambak.

Katanya walaupun statistik tangkapan semakin menunjukkan penurunan, pengawasan dan penguatkuasaan di kawasan dipercayai sering digunakan sebagai laluan haram itu akan terus dipertingkat.

"Kita akan bincang dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai masalah ini termasuk untuk menutup laluan tikus itu. Kita belum kenal pasti pemilik tanah di kawasan tersebut," katanya.

Sementara itu, mengenai program penerapan nilai murni berkenaan, Mustafa berkata ia julung kali diadakan di BSI kerana sebelum ini ia diadakan di ibu pejabat Imigresen.

Katanya, program berkenaan dapat mendekatkan hubungan antara pengurusan tertinggi dan kakitangan imigresen.

-- BERNAMA

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.