Kejadian kemalangan yang kerap berlaku dalam industri pembinaan telah mendapat perhatian serius rakyat Malaysia dan langkah perlu diambil untuk menangani isu ini dalam memastikan imej baik industri terpelihara, terutamanya kontraktor dan pekerja asing mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem yang melawat kawasan kemalangan di tapak pembinaan di Pulau Sebang, Melaka, baru-baru ini menyatakan bahawa 198 pekerja binaan maut sejak 2013 hingga Jun tahun ini.
Antara Januari dan Mei tahun ini, kemalangan di tapak kerja mengorbankan 53 nyawa.

Dalam lima bulan pertama tahun ini, 92.5 peratus daripada 3,021 kontraktor yang disaring oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh JKKP di tempat kerja. Sementara itu, tindakan telah diambil terhadap 63 kontraktor.

Dalam enam bulan pertama tahun ini, 2,787 notis dan 72 saman telah dikeluarkan terhadap kontraktor yang bersalah.
Menurut menteri, kementeriannya akan terus mengawasi 4,682 tapak pembinaan yang aktif di seluruh negara.

Industri pembinaan memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara. Tenaga kerja yang mahir dan profesional diperlukan untuk memastikan industri pembinaan terus berkembang, manakala usaha perlu dipergiatkan lagi bagi memastikan keselamatan di tempat kerja.

Pencegahan kemalangan di tempat kerja akan lebih berkesan jika majikan dan pekerja sedar akan pentingnya mempunyai budaya tempat kerja yang selamat dan sihat. Penglibatan semua pihak adalah penting jika kita mahu mencapai budaya keselamatan pekerjaan yang menyeluruh dalam industri pembinaan, yang umumnya dianggap sebagai industri berisiko tinggi.

Sistem pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang berkesan akan menyumbang ke arah pembentukan budaya keselamatan yang menyeluruh dalam industri.

Perbincangan mengenai keselamatan di tempat kerja tidak akan lengkap jika tidak melihat kepada tingkah laku manusia secara terperinci. Jika kemalangan berlaku kerana kegagalan mekanikal atau kejadian semula jadi, ini boleh difahami tetapi sekurang-kurangnya apa yang boleh kita lakukan adalah mengelak kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian profesional, ketidakcekapan dan kelalaian.

Walaupun kemalangan boleh dan memang berlaku, terdapat pelbagai langkah yang boleh kita guna pakai untuk mengurangkannya. Kemalangan boleh dikurangkan jika kita jadikan amalan kerja yang berhemah dan berhati-hati sebagai sebahagian daripada budaya kita. Ketelitian terhadap keselamatan harus menjadi nilai teras untuk semua yang terlibat dalam industri pembinaan.

Setiap orang terdedah dan berpotensi untuk terlibat dalam kemalangan. Hakikat ini mesti ditanam di dalam minda setiap orang di setiap tempat kerja supaya tiada tolak ansur dalam kecuaian dan keselamatan diutamakan.

Untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini di tapak pembinaan, perhatian dan keutamaan perlu diberi kepada keselamatan semasa projek masih dalam peringkat konsep. Pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah diamalkan di semua peringkat industri pembinaan, daripada pengurusan tertinggi hinggalah kepada buruh di tapak kerja.

Pemaju bertanggungjawab untuk memilih kontraktor yang cekap dan prihatin terhadap keselamatan. Sewaktu proses tender dijalankan, pembida perlu dimaklumkan untuk tidak mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan walaupun harga yang ditawarkan adalah rendah.

Ini adalah masanya untuk semua kontraktor yang ingin membida sebarang kontrak pembinaan perlu mengemukakan polisi keselamatan, sistem pengenalpastian bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC) serta sebarang maklumat mengenai pengalaman dan latihan keselamatan yang diberikan kepada pekerja-pekerja mereka.

Walaupun pihak kerajaan menggubal dan menguatkuasakan undang-undang, tanggungjawab bagi melaksanakan sistem keselamatan di tapak pembinaan terletak di bahu kontraktor dan sub-kontraktor.
Adalah lebih baik bagi mereka yang mewujudkan risiko dan bahaya, untuk menguruskan risiko dan bahaya tersebut. Oleh itu, kontraktor atau sub-kontraktor perlu bertanggungjawab dan komited sepenuhnya kepada kerja yang berkualiti serta piawaian dan amalan keselamatan.

Semua penyelia keselamatan di tapak pembinaan mesti menjalankan tugas mereka dengan cekap dan memastikan bahawa semua kerja yang dilakukan oleh pekerja asing di­selia dengan betul.
Mereka yang terlibat dalam industri pembinaan perlu sedar akibat buruk apabila melanggar garis panduan keselamat­an, rekabentuk yang tidak bersesuaian, hasil kerja yang tidak bermutu dan penyeliaan yang tidak mencukupi.

Jika piawaian keselamatan yang mencukupi ditetapkan dan prosedur keselamatan dan peraturan dipatuhi secara ketat serta diselia rapi, saya yakin bahawa kemalangan tertentu dan kerugian yang melibatkan kehilangan nyawa dan anggota badan dapat dielakkan.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.