NAHAS di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) di ibu negara yang mengorbankan sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia tujuh bulan, baru-baru ini mendapat perhatian meluas masyarakat. Kemalangan maut itu menjadi viral di media sosial apabila pelbagai pihak tampil mengaitkan nahas gara-gara enam pemandu kereta Perodua Myvi yang didakwa ahli sebuah kelab kereta sedang berlumba.
Seperti biasa, pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara yang paling banyak ditohmah. Antaranya, polis dituduh cuba melindungi maklumat, sehinggakan ada mendakwa PDRM mahu menutup kes.
Di sebalik tekanan, pihak polis berjaya melengkapkan siasatan dalam masa singkat sehingga membawa kepada proses pendakwaan dua pemandu Myvi di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur, 9 Mei lalu. Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian. Masing-masing mengaku tidak bersalah. Prosiding kes masih berjalan dan tidak dapat dipastikan bila berakhirnya.
Ramai menimbulkan persoalan tentang keberkesanan undang-undang ataupun tindakan yang dikenakan terhadap mereka yang dipercayai terlibat sehingga menyebabkan kes tercetus. Sentimen itu timbul antara lain ekoran simpati terhadap dua anak mangsa, Firuza Amira, 7, dan adiknya, Nur Firuza Aqila, 4, yang terpaksa menjadi yatim piatu.
Ada yang hairan kenapa suspek kes itu dibebaskan dalam tempoh singkat selepas keterangan diambil. Ada juga yang membangkitkan apakah pembelaan sewajar yang patut diberikan kepada mangsa atau ahli keluarganya.
Lantaran, timbul usaha membandingkan keberkesanan undang-undang sekarang iaitu berasaskan Common Law dengan undang-undang Islam.
Antara hujah diberikan adalah sebarang jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja (Shibhu ‘amd) tanpa niat, diwajibkan kepada penjenayah untuk membayar diyaat (ganti rugi) kepada keluarga mangsa dan bukannya pihak kerajaan (mahkamah) seperti yang berlaku dalam amalan undang-undang kini.
Penulis tidak berhasrat mengulas kedudukan undang-undang Syariah. Namun begitu difahamkan dalam mengadili kes atau menentukan sebarang hukuman mengikut Syariah, aspek-aspek teknikal iaitu Baiyinah (keterangan) dan Syahadah (kesaksian) menjadi intipati amat penting. Hal ini kerana, tanpa keterangan (termasuk kesaksian, qairinah dan pendapat pakar), hukuman tidak dapat dilaksanakan dengan adil.
Undang-undang berasaskan Common Law yakni Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang diguna pakai dalam siasatan dan pendakwaan ke atas kes tersebut, memperincikan tentang kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu dan membahayakan orang awam sehingga menyebabkan kematian.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun tetapi tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 tetapi tidak melebihi RM20,000.
Seseorang yang sabit kesalahan juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang tiga tahun dari tarikh sabitan dan dalam hal sabitan kali kedua atau berikutnya, hilang kelayakan selama tempoh 10 tahun dari tarikh sabitan.
Jika diperhalusi seksyen tersebut, terdapat dua jenis kesaÂlahan iaitu kategori pertama, memandu dengan melulu menyebabkan kematian manakala kategori kedua, memandu dengan berbahaya menyebabkan kematian.
Di dalam APJ, definisi pemanduan berbahaya kepada orang awam tidak dijelaskan, namun pengertiannya telah ditafsirkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Tinggi Singapura di dalam kes Lim Chin Poh v PP [1969] 2 MLJ 159 dan menjadi ikutan berdasarkan Doktrin Duluan Mengikat (Stare Decisis) oleh mahkamah-mahkamah di negara ini sehingga kini.
Dalam kes tersebut, Hakim Choor Singh memutuskan, bagi membuktikan pemanduan berbahaya, mesti terdapat keterangan yang menunjukkan orang kena tuduh (OKT) telah melakukan sesuatu perbuatan positif tentang tahap bahaya hingga menyebabkan kemalangan berlaku.
Seterusnya bagi mensabitkan seseorang di bawah pertuduhan Seksyen 41(1) APJ, mestilah dibuktikan oleh pihak pendakwaan bahawa tertuduh telah menimbulkan risiko kecederaan tinggi kepada orang lain dan tidak memperdulikan kemungkinan risiko tersebut seperti diputuskan dalam kes PP v Zulkifli Omar [1998] 1 CLJ 1079.
Sementara maksud melulu (reckless) pula, tafsiran mengenai istilah tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada tahun 1964 dalam kes Seah Siak How v PP [1965] 1 MLJ 53.
Melulu adalah cara memandu dengan gopoh (rash) apabila pemandu tidak menghiraukan langsung keadaan jalan raya pada masa tersebut. Maksud gopoh itu pula dijelaskan dalam kes jenayah berkaitan menyebabkan kematian dengan cuai iaitu mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Dalam kes PP v Mahfar Sairan [2000] 4 MLJ 791, yang diikuti daripada kes lama dari India iaitu Nidamarti Nagabhushanam (1872) 7 MHC 119, mahkamah menjelaskan prinsip gopoh sebagai suatu perbuatan yang dilakukan dengan keseÂdaran bahawa suatu yang buruk atau bencana tubuh boleh berlaku tetapi OKT masih hendak mengambil risiko.
Sementara takrifan cuai, unsur cuai jenayah lebih kurang dengan prinsip dalam kes-kes tort yang menggunakan ujian kejiranan. Maksudnya, OKT tidak sedar risiko bahaya itu keÂcuali jika dia ambil langkah berjaga-jaga.
Seperkara yang menarik perhatian tentang pendakwaan kes memandu secara melulu, gopoh, cuai hingga menyebabkan kematian kaitannya dengan unsur pengetahuan. MaknaÂnya, selain tindakan mengikut Seksyen 41(1) APJ, pihak pendakwaan boleh menimbang menggunakan Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan dan Seksyen 304A kanun sama.
Bagaimanapun, Seksyen 304(d) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan didapati mempuÂnyai hukuman lebih berat iaitu penjara sehingga 30 tahun berbanding Seksyen 304A kanun sama, hanya penjara sehingga dua tahun.
Apapun, dalam menimbangkan sebarang pendakwaan dan juga menjatuhkan hukuman, pihak terbabit sudah tentu akan mengambil kira fungsi sistem keadilan jenayah dan juga objektif hukuman itu sendiri.
Hukuman yang dijatuhkan kepada OKT adalah untuk menghormati dan memelihara sentimen awam agar tidak terdapat tindakan balas-membalas antara satu sama lain. JusÂteru, hukuman yang dijatuhkan kelak, mestilah setimpal.
Sumber : Utusan Malaysia