ISU rasuah melibatkan agensi penguatkuasaan undang-un­dang kembali menjadi begitu hangat kebelakangan ini wa­laupun ia bukan perkara ba­haru.

Hal ini kerana masalah rasuah, salah guna kuasa dan kelakuan tidak wajar dalam kalangan kakitangan kerajaan tidak pernah habis dan akan terus berlaku selagi ada aktiviti ‘memberi’ dan ‘menerima’.

Terdapat pelbagai ulasan yang dibuat pihak-pihak berkaitan sama ada dari segi punca, langkah pencegahan serta usaha dibuat bagi membanteras gejala tidak sihat berkenaan.

Namun, seperti yang ditegaskan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali dalam wawancaranya yang disiarkan akhbar ini pada 11 Mac lalu, integriti adalah asas pencegahan rasuah yang berkesan.

Beliau berpendapat, jika integriti dipupuk daripada awal dan dipantau dengan baik pasti dapat mencegah atau mengurangkan gejala rasuah daripada terus berlaku.

Sungguhpun begitu, beliau menarik perhatian bahawa tahap integriti masih dalam kepincangan sementara tindakan pencegahan pula memang ada tetapi tidak dilaksanakan bersungguh-sungguh, tidak berterusan atau tidak menyeluruh.

Sememangnya terdapat pelbagai usaha yang dibuat bagi memastikan gejala rasuah tidak menular dan menjadi barah dalam masyarakat serta negara. Ini termasuklah langkah menggubal undang-undang bercorak pencegahan dan memerangi kegiatan tidak sihat itu di samping memelihara integriti.

Mekanisme berkenaan terma­suklah pengenalan kepada undang-undang khusus bagi menggalakkan orang ramai melaporkan perkara yang bersifat pincang dalam organi­sasi atau agensi kerajaan. Dengan kata lain, mereka bertindak menjadi pemberi maklumat (whistleblower) dan pada masa sama akan turut dilindungi oleh undang-undang.

Pada Jun 2010, Parlimen meluluskan satu undang-undang yang dinamakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atau ringkasnya Akta 711 dan pemakaiannya berkuat kuasa pada 15 Disember 2010.

Niat Parlimen berkaitan akta itu adalah untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dalam bentuk kerahsiaan, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah serta perlindungan daripada tindakan yang memudaratkan diambil. Undang-undang perlindungan pemberi maklumat meliputi mana-mana orang awam, anggota sektor awam dan swasta yang membuat pendedahan.

Antara pendedahan yang diga­lakkan adalah berkaitan penyalahgunaan kuasa, pelanggaran undang-undang dan etika standard, aktiviti yang membawa bahaya kepada kesihatan atau keselamatan awam, pembaziran yang serius, menyalahi undang-undang dan salah urus.

Akta tersebut dilaksanakan terhadap semua agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi lain yang mempunyai kuasa penyiasatan serta penguatkuasaan.

Berdasarkan peruntukan Akta 711 itu, tatacara pendedahan atau pemberian maklumat mengenai ‘kelakuan tidak wajar’ dalam kalangan pegawai agensi adalah seperti berikut;

n Pemberi maklumat hadir ke mana-mana agensi penguatkuasaan untuk membuat pendedahan atau membuat temu janji di suatu tempat yang dipersetujui oleh pegawai penguat kuasa.

n Membuat pendedahan melalui surat yang memberikan maklumat yang jelas tentang nama, identiti dan alamat pemberi maklumat dan bagaimana dia boleh dihubungi.

Sungguhpun begitu, Akta 711 masih mempunyai kekangan tersendiri yang mana keberkesanan dari segi pelaksanaan boleh dipertikaikan. Ini berikutan aduan atau maklumat berkaitan kelakuan tidak wajar dalam kalangan pegawai selalunya dikendalikan unit khas atau secara dalaman agensi itu sendiri.

Walaupun para pegawai yang ditugaskan dalam unit khas terbabit mempunyai kredibiliti tinggi, namun ada kalanya wujud kecenderungan untuk ‘menyembunyikan kekotoran di bawah permaidani’. Keadaan menjadi lebih parah apabila kerahsiaan pihak yang memberi maklumat tidak dapat dilindungi malah identiti disebarkan kepada pengetahuan pihak berkenaan atau lain-lain.

Seperti yang diketahui umum, dalam kebanyakan organisasi sememangnya wujud semangat ‘kekitaan’ yang tinggi. Perkara itu juga mendorong kepada usaha menyembunyikan sesuatu tidak baik ekoran proses siasatan tidak menunjukkan ketelusan seperti yang diharapkan.

Setelah dilaporkan kepada ketua jabatan pula, kes-kes salah laku yang berlaku dalam kalangan pegawai tidak diambil tindakan lanjut (non further action) atas alasan menjaga nama baik organisasi.

Apabila perkara berkenaan berlaku, sudah tentunya pemberi maklumat atau whistleblower agak keberatan untuk menyalurkan butir­an salah laku. Atas sebab itulah, kes-kes rasuah dan salah guna kuasa dikatakan berlaku secara berterusan.

Bagi mengatasi masalah berbangkit itu, kerajaan khabarnya sedang menyusun langkah penambahbaikan untuk memindahkan unit khas yang memantau integriti pegawai agensi penguatkuasaan ke satu badan lain.

Dengan kata lain, unit tersebut akan diletakkan di bawah satu bumbung dengan kuasa kawal selia oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).Jika ini berlaku, sudah tentunya EAIC dapat bertindak dengan lebih sistematik dan berkesan kerana badan itu tidak mempunyai kepentingan dalaman terhadap agensi penguatkuasaan terlibat.

Lebih penting lagi, orang ramai atau whistleblower tidak perlu khuatir atau teragak-agak untuk menyalurkan maklumat agar masalah salah laku seperti rasuah dan penyelewengan dalam kalangan pegawai agensi penguatkuasaan diminimumkan sekali gus memastikan hak serta kepentingan awam dijaga.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.