Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, sebagaimana di bawah. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan atau Enforcement Agency Integrity Commission (EAIC) ingin mengumumkan kepada orang awam mengenai dapatan (findings) laporan siasatan oleh Pasukan Petugasnya ke atas kematian James Ramesh a/l Ramasamy (si mati / JR) semasa dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dalam hal ini, Pasukan Petugas EAIC yang dilantik bagi menjalankan siasatan penuh kejadian, telah mengambil tindakan berikut: Mengambil keterangan daripada 32 orang saksi (termasuk anggota polis berkaitan penangkapan dan tahanan JR, pegawai perubatan, orang tahanan dan juga ahli keluarga si mati; Melawat Lokap Balai Polis Central, Pulau Pinang di mana JR telah ditemui mati; Meneliti dan mengkaji dokumen berkaitan, termasuk Buku Perharian Balai, Buku Daftar Keluar Masuk OKT, Buku Lawatan Pegawai Lokap, Buku Daftar Makanan, laporan bedah siasat dan laporan kimia beserta gambar-gambar post-mortem si mati; Menganalisa rakaman kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di Lokap Balai Polis Central, Pulau Pinang dari PDRM; dan Menghadiri prosiding inkues yang dijalankan di Mahkamah Koroner Georgetown, Pulau Pinang yang memutuskan kematian JR sebagai “misadventure†dan tiada sebarang perlakuan jenayah terhadapnya. Kesimpulan daripada analisa dan penilaian terhadap keterangan yang diperoleh, Pasukan Petugas mendapati: - tiada unsur salah laku atau apa-apa penggunaan kekerasan fizikal oleh anggota polis yang terlibat dengan penangkapan dan semasa tempoh penahanan JR di lokap; dan - kematian JR adalah berpunca dari penyakit hati kronik yang gagal berfungsi (alcoholic liver disease with myocardial fibrosis) iaitu akibat pengambilan alkohol dan dadah yang berlebihan. Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang kecederaan luaran atau dalaman yang dialami oleh si mati. Sehubungan ini EAIC telah mengenalpasti beberapa syor dan cadangan penambahbaikan berkaitan pengurusan lokap polis untuk perhatian dan tindakan PDRM termasuk agensi-agensi lain yang mempunyai lokap orang tahanan bagi mengelakkan kejadian kematian semasa dalam tahanan berulang iaitu seperti berikut: Klasifikasi tahanan penagih dadah tegar dikelaskan sebagai 'pesakit' dan bukannya 'penjenayah'. Selepas tangkapan, mereka hendaklah dibawa ke pusat perubatan bagi pemeriksaan dan rawatan dan seterusnya ditempatkan di wad atau lokap khas yang membolehkan rawatan pemeriksan berterusan oleh Pegawai Perubatan dapat dilakukan. - Menguatkuasakan kepatuhan kepada Kaedah 10 Kaedah - Kaedah Lokap 1953 yang menghendaki Pegawai Perubatan membuat pemeriksaan kesihatan ke atas orang tahanan ketika mula ditahan lokap. - Mengadakan mekanisme yang mudah dan efektif yang membolehkan orang tahanan dapat membuat aduan ke atas jenis penyakit atau sebarang kecederaan yang dialaminya yang dapat diuruskan dengan berkesan oleh Pegawai Penjaga Lokap (KPD) bagi membolehkan rawatan segera didapatkan ke atas orang tahanan. - Mengadakan “refresher course†atau “refresher training†yang berterusan secara berkumpulan dan berperingkat kepada semua anggota lokap berkaitan pengurusan lokap dan dokumen protokol yang terpakai dalam pengurusan lokap dan orang tahanan. - Mengadakan tatacara / SOP khusus untuk mengendalikan tahanan narkotik atau penagih alkohol dan mabuk (high risk arrestee) dan lain-lain seperti kanak-kanak dan orang trauma. - Memperketatkan pematuhan oleh pegawai dan anggota bertugas lokap ke atas Perintah-Perintah Tetap PTKPN BHG. A118 dan Perintah Tetap KPD serta Kaedah-Kaedah Lokap 1953. - Memastikan lokap-lokap dibekalkan dengan kemudahan dan jagaan yang lebih sempurna termasuk dalam perkara keperluan asas bilik air seperti sabun mandi dengan mengambil kira faktor keselamatan, dan menentukan pengudaraan dan pencahayaan yang mencukupi bagi lokap. - Mengkaji semula kekerapan keperluan rondaan oleh anggota lokap dengan mengambil kira peranan CCTV dan jumlah keanggotaan anggota lokap. - Memastikan keluarga orang tahanan diberitahu jika terdapat tahanan jatuh sakit dan menerima rawatan hospital. EAIC sangat kesal dengan kes-kes kematian pesalah dalam lokap yang berulang kali berlaku dalam negara dan memandang serius kepada perkara ini. Demi menjaga integriti semua pihak, diharapkan syor-syor ini diberi perhatian serius oleh semua agensi penguatkuasaan yang mempunyai lokap dan tindakan penambahbaikan dilaksanakan dengan segera. Untuk mendapatkan laporan penuh siasatan ini orang awam boleh memuat turun melalui laman sesawang EAIC di alamat www.eaic.gov.my. - HARAKAHDAILY 30/1/2015
Sumber : Harakah Daily