PENGEDARAN dan penagihan dadah masih ancaman serius di negara ini. Ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan masyarakat tetapi juga mengancam keselamatan negara. Sudah sekian lama isu mengenai dadah ini diangkat sebagai satu isu keselamatan negara. Namun, ancaman jenayah rentas sempadan ini sukar dikawal disebabkan mereka yang menjalankan aktiviti haram ini menggunakan pelbagai strategi hingga mengaburi pihak berkuasa. Walaupun pihak berkuasa keselamatan guna pelbagai strategi bagi membendung masalah ini, terutama penguatkuasaan undang-undang berkaitan dadah, ia kurang berkesan. Apakah pendekatan pengurusan ancaman dadah yang diguna pakai pada masa kini tidak lagi relevan atau perlu diperbaiki? Inilah antara cabaran kepada pembuat dasar dan pengkaji isu keselamatan dalam negara, terutama berhubung dengan ancaman pengedaran dadah. Harus diingat, di rantau Asia Tenggara, pengedaran dadah adalah satu bentuk perdagangan haram yang berada pada kedudukan kedua paling menguntungkan selepas perniagaan senjata haram. Bebas daripada dadah Aktiviti ini pula dilakukan secara terancang dan bersistematik. Masyarakat kita harus dibebaskan daripada ancaman dadah. Perjanjian antarabangsa berkaitan penggunaan dadah juga menyatakan masyarakat umumnya ada kepentingan lebih utama untuk dilindungi dari sebarang kemudaratan disebabkan penggunaan dadah. Dapatkah kita melindungi masyarakat jika ancaman dadah masih lagi serius di negara ini? Penemuan dan pengesanan pembabitan ahli sindiket pengedaran dadah jenis sintetik berskala besar oleh oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap makmal dadah haram dan rampasan wang tunai hasil dari aktiviti pengedaran dadah sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan betapa seriusnya aktiviti jenayah dadah ini di negara kita. Bukan sahaja PDRM yang membongkarnya, malah agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia yang menjalankan operasi penangkapan dan penguatkuasaan undang-undang secara aktif turut mendapati aktiviti pengedaran dadah adalah serius. Kita juga bimbang berlakunya trend pengedaran senjata api secara haram di negara ini ada kaitan rapat dengan penyeludupan dan pengedaran dadah. Kes empat sekeluarga mati ditembak seorang lelaki dipercayai penagih dadah di sebuah kilang memproses ayam di Batu Maung, Pulau Pinang, baru-baru ini adalah bukti penagih dadah juga mudah memiliki senjata api untuk melakukan jenayah termasuk membunuh. Hakikatnya, di negara kita kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah meningkat dari semasa ke semasa. Memang kedudukan geografi Malaysia yang mempunyai pantai amat panjang, dikelilingi Laut Cina Selatan dan Selat Melaka bersempadan dengan Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura memudahkan sempadan negara dibolosi secara haram. Isu integriti pihak berkuasa yang bertugas di pintu masuk lapangan terbang dan juga di pelabuhan perlu diberi perhatian serius. Mungkin sampai masanya pihak berwajib memikirkan pendekatan lebih bersesuaian bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

Sumber: Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.