APMM tidak terima laporan 200 nelayan Malaysia ditahan di perairan Indonesia

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak menerima sebarang laporan berkaitan penahanan 200 nelayan Malaysia di perairan Indonesia seperti dilaporkan agensi berita Reuters hari ini.

Pengarah Cawangan Siasatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Zulkifli Abu Bakar, ketika dihubungi BH Online sebentar tadi, berkata pihaknya hanya menerima laporan berhubung penahanan nelayan tanpa butiran kewarganegaraan.

"Pegawai kita mengatakan tidak ada sebarang laporan diterima (seperti apa yang dilaporkan Reuters). Justeru, kita masih belum mengetahui kesahihan berita yang dilaporkan itu.

"Bagaimanapun, kita akan menyiasat. Dalam kes ini, MKN (Majlis Keselamatan Negara) perlu masuk campur sekiranya ia benar berlaku berikutan membabitkan isu nasional," katanya.

Reuters, dalam laporan malam ini, menyatakan Indonesia hari ini menahan 200 nelayan Malaysia yang menangkap ikan secara haram di perairannya, ketika negara itu berusaha membendung kerugian ekonomi bernilai berbilion dolar AS.

Setiausaha Kabinet Indonesia, Andi Widjajanto, dilaporkan berkata operasi membanteras penangkapan ikan secara haram yang menyebabkan Indonesia kerugian AS$25 bilion (RM84 bilion) setahun, bermula minggu ini.

Menurut Reuters, tindakan itu dilihat akan mencetuskan ketegangan dengan negara di rantau itu, apabila Presiden Joko 'Jokowi' Widodo mengambil pendirian tegas berhubung sektor maritim ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

"Presiden berkata, sektor maritim berada dalam kegawatan...maka kami perlukan pendekatan baharu yang berani dan sebab itulah beliau mengisytiharkan perang terhadap penangkapan ikan secara haram," katanya dalam satu temubual.

Sumber : Berita Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.