KUALA LUMPUR : Satu perundangan sedang digubal untuk mengklasifikasikan salah laku penjawat awam sebagai kesalahan jenayah berunsurkan rasuah bagi membendung ketirisan peruntukan wang negara berdasarkan laporan Ketua Audit Negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata sebelum ini kerajaan mengalami kerugian berikutan jumlah wang negara dibelanjakan melebihi daripada sepatutnya.

"Hasil siasatan SPRM mendapati kerugian itu kebanyakannya disebabkan salah laku pegawai awam dan tidak melibatkan elemen jenayah berunsurkan rasuah. SPRM tidak dapat mengambil tindakan jika ia hanya salah laku," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat bertajuk ’Berwibawakah SPRM’ anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, hari ini.

Abu Kassim berkata pihaknya sudah membuat kertas cadangan berkaitan perundangan itu dan ia sedang diteliti Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat.

Pada 28 Feb lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata SPRM telah mengemukakan 18 kertas siasatan yang dibukanya berhubung salah laku dan kecuaian penjawat awam dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Antara 18 kes itu adalah tuntutan palsu oleh Telekom Malaysia (TM) kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhubung projek Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 yang bernilai RM4.37 juta bagi tempoh 2007 hingga 2012.

Bagi tempoh 2007 hingga 2010, TM juga menuntut bayaran perkhidmatan Promosi dan Publisiti sebanyak RM3.19 juta sedangkan projek tersebut telah dibatalkan.

Menurut Dr. Ali bagi kes salah laku dan kecuaian lain melibatkan urusan tatatertib pula, sebanyak 140 pegawai dikenal pasti membabitkan 24 kes.

Daripada jumlah itu, 99 pegawai telah dimulakan prodising di bawah tatatertib, 12 di bawah prosiding tatatertib dan surcaj serta 29 pegawai di bawah prosiding surcaj.

Sumber : Berita Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.