KUALA LUMPUR 12 Julai – Kerajaan negeri Pahang perlu menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas bagi membanteras penerokaan tanah haram di Cameron Highlands sebelum memberi sebarang kebenaran untuk pembukaan tanah baharu di kawasan itu.
Presiden Pertubuhan Pelindung KhaÂzanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Sharifah Sabrina Syed Akil berkata, langkah kerajaan negeri untuk tidak lagi membenarkan pembukaan kebun sayur berskala besar di Cameron HighÂlands merupakan satu usaha yang baik tetapi pada masa yang sama perlu menumpukan tindakan penguatkuasaan yang dilihat lebih penting ketika ini.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum melihat sebarang tindakan tegas diambil terhadap pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan penerokaan tanah serta perlombongan haram di negeri itu.
“Jika nampak lombong atau kebun haram, saman mereka yang terlibat kerana di Pahang terlampau banyak kegiatan haram seperti itu berlaku. Tidak perlu bercakap lagi sebaliknya kerajaan negeri perlu tumpu untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan yang boleh mencemarkan alam sekitar.
“Malah, mereka juga perlu ‘menghalalkan’ semula tanah haram yang telah diteroka serta beri tanah itu kepada orang yang layak untuk mengusahakannya,†katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas langkah kerajaan negeri Pahang untuk tidak lagi membenarkan pembukaan kebun sayur berskala besar di Cameron Highlands bagi mengatasi masalah penerokaan tanah secara haram dan hakisan daripada terus berlaku di tanah tinggi itu.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, menerusi formula dicadangkan, hanya petani yang layak akan diberikan kebenaran mengusahakan tanah dalam jumlah minimum berkeluasan antara 1.2 hingga 1.6 hektar.
Mengulas lanjut, Sharifah Sabrina berkata, kerajaan neÂgeri perlu mengambil berat kebimbangan yang disuarakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai aktiviti perlombongan yang berlaku di beberapa kawasan di negeri itu.
“Saya sangat gembira apabila Tengku Mahkota Pahang sudah bercakap mengenai perkara ini kerana keadaan di Pahang seperti di Bukit Goh dan Gebeng sangat teruk,†jelasnya.
Sementara itu, Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, kebun bersaiz kecil iaitu kurang daripada dua hektar mempunyai impak yang hampir sama dengan kebun berskala besar malah lebih sukar dikawal jika jumlahnya terlalu banyak.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk menyediakan garis panduan pertanian di kawasan bukit seperti sistem kawalan hakisan tanah dan sistem saliran serta kawalan penggunaan baja kimia yang boleh merosakkan alam sekitar dan hidupan lain.
“Apa yang lebih penting ialah setiap pengusaha tanah perlu mengikuti ketetapan perancangan guna tanah yang ditetapkan seperti tempat yang sesuai untuk pertanian dan kawasan yang tidak sesuai untuk pertanian kerana semua kawasan bercerun curam sebenarnya tidak sesuai untuk pertanian,†jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid berkata, langkah kerajaan negeri hanya membenarkan pembukaan tanah kebun berskala kecil membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan dengan lebih mudah serta ketat.
Sumber : Utusan Online