DASAR Pandang ke Timur yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada 1982 adalah bertujuan mendidik rakyat Malaysia amnya dan penjawat awam khususnya supaya mempelajari dan meniru budaya murni masyarakat Jepun dan Korea. Sejak itu, pelbagai langkah diambil kerajaan dalam usaha membentuk penjawat awam yang berintegriti serta mempunyai tahap akauntabiliti yang tinggi.
Antara langkah-langkah kerajaan adalah memperkenalkan konsep Tonggak 12 (1994), Pelan Integriti Nasional (2004), Sistem Audit Nilai (2007), Ethos Perkhidmatan Awam (2013) dan banyak lagi inisiatif termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan harapan 1.6 juta warga penjawat awam akan menjadi warga kerja yang mempunyai tahap integriti dan akauntabiliti yang tinggi.
Bangsa Jepun adalah satu bangsa yang amat tinggi tahap integriti dan akauntabilitinya. Sebagai contoh, pada tahun 2006 Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Toshikatsu Matsuoka telah dituduh mengemukakan tuntutan palsu bil utiliti pejabat yang disewanya sebanyak 5 juta Yen (RM173,000).
Apabila kesnya terbongkar, walaupun masih belum didapati bersalah, satu langkah yang diambil oleh T.Matsuoka ialah beliau terus meletakkan jawatan sebagai menteri.
Apabila akhbar di Jepun mensensasikan peletakan jawatannya sebagai menteri, seolah-olah sebagai rasa bersalah terhadap tuntutan palsu yang dikemukakan, T.Matsuoka amat berduka cita dan bertindak menggantung diri di pangsapurinya bagi menebus kesalahan.
Budaya harakiri atau honourable death adalah satu budaya yang diamalkan berkurun lamanya di negara itu. Meskipun budaya atau perbuatan ini amat bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak sepatutnya diikuti, namun budaya ini telah menunjukkan masyarakat Jepun sebagai satu bangsa yang amat tinggi dengan rasa kebertanggungjawabannya.
Bangsa Jepun juga adalah bangsa yang amat suka menolong orang. Penulis masih teringat lagi ketika dihantar bekerja di Jepun pada 1996 di sebuah tempat yang bernama Kitakyushu City.
Pada minggu pertama, penulis telah berjalan-jalan di Bandar Kitakyushu dari asrama di Kokura.
Ketika hari lewat petang, penulis terlupa mengenal pasti bas untuk balik semula ke asrama. Memandangkan penulis masih belum boleh berbahasa Jepun ketika itu, penulis tidak dapat memahami destinasi bas yang ditulis semuanya dalam bahasa Jepun.
Cubaan bertanya kepada orang ramai dalam bahasa Inggeris gagal apabila rata-ratanya menjawab Kokura doko? (Kokura di mana?) dan wakaremasen (tidak faham).
Akhirnya ketika penulis hampir letih memohon pertolongan sambil berteriak perkataan Kokura, seorang wanita tua terus memegang tangan saya dan membawa saya menaiki bas. Ketika itu hari hampir malam.
Meskipun kami tidak boleh berkomunikasi, wanita itu dengan wajah penuh mesra dan prihatin membayarkan tambang bas penulis dan menghantar penulis dalam perjalanan hampir sejam itu sebelum berpatah balik ke Kitakyushu City ke destinasinya pula.
Inilah satu peristiwa yang penulis masih tidak dapat lupakan hingga ke hari ini akan kebaikan dan ketulusan budi orang Jepun dalam membantu orang yang memerlukan pertolongan.
Dalam budaya orang Jepun ada falsafah yang disebut kamikaze (pantang menyerah kalah) dan juga kaizen (sentiasa memperbaiki diri). Sebab itulah bangsa Jepun maju dalam semua aspek kehidupan dengan begitu pantas.
Sebagai contoh, dalam sukan bola sepak, penulis masih ingat ketika masih di zaman kanak-kanak dulu, penulis dan kawan-kawan akan sentiasa bersorak gembira menyaksikan bagaimana pasukan bola sepak Malaysia yang diterajui oleh bintang utamanya Allahyarham Mokhtar Dahari membelasah pasukan Jepun 3-0 dalam Pesta Bola Merdeka.
Kini kebangkitan The Samurai Blue begitu pantas meninggalkan Malaysia dan berada di tangga 50 dunia dalam Ranking Fifa 2015 sedangkan pasukan bola sepak Malaysia masih terkial-kial di tangga 166 dunia dalam ranking berkenaan.
Yang sedihnya kita berada di bawah Bhutan, negara yang hanya mempunyai 700,000 orang penduduk yang menduduki tempat ke-164 daripada 196 negara yang ada di dunia ini.
Dari segi Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (Corruption Perception Index) yang dikeluarkan oleh Transparencies International, Jepun menduduki tangga ke-15 daripada 175 negara, jauh meninggalkan negara kita yang berada pada posisi 50/175.
Inilah satu contoh bagaimana kerja kuat, integriti dan disiplin telah berjaya melonjakkan Jepun dari sebuah negara yang musnah setelah bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki kepada sebuah negara yang menjadi gergasi dunia dalam hampir semua aspek kehidupan.
Pada 2012, Jepun yang terkenal dengan nilai integriti dan akauntabiliti yang tinggi ini diuji lagi dengan insiden keterlibatan ahli gusti Sumo dalam match fixing oleh sindiket perjudian antarabangsa.
Insiden ini amat memalukan kerajaan Jepun kerana bangsa Jepun telah diiktiraf dunia sebagai sebuah bangsa yang kuat jati diri dan integritinya.
Walau bagaimanapun, satu iktibar yang boleh kita contohi daripada insiden ini ialah bila mana Hiroyoshi Murayano, Presiden Japan Sumo Association (JSA) memanggil 17 ahli gusti atau yokozuna yang terlibat dalam skandal itu untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Jepun dan dunia kerana telah melakukan kesilapan mencemarkan nilai murni masyarakat yang diamalkan oleh masyarakat Jepun bertahun lamanya.
Kesemua ahli gusti itu telah membuat permohonan maaf terbuka dan menamatkan karier sebagai ahli gusti Sumo termasuk Presiden JSA itu sendiri, biarpun beliau tidak tahu-menahu akan penglibatan anak buahnya itu dalam sindiket perjudian antarabangsa berkenaan.
Inilah satu contoh akauntabiliti tinggi oleh seorang pemimpin yang berintegriti.
Nilai akauntabiliti inilah yang sedang dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui pelbagai program pengukuhan integriti tetapi masih lagi belum mencapai tahap yang benar-benar boleh dibanggakan.
Namun begitu berbekalkan iltizam yang kuat dan melalui sokongan serta dokongan kuat di pihak kerajaan, maka tidak mustahil masyarakat Malaysia akan menjadi sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan baik akhlaknya seperti mana termaktub di dalam cabaran keempat Wawasan 2020 dalam tempoh lima tahun dari sekarang.
PENULIS ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia (IIM) dan penulisannya adalah pandangan peribadinya semata-mata.
Sumber - Utusan Online
Tarikh - 12 Jun 2015