KEMENTERIAN Dalam Negeri dianggap mengambil langkah tepat apabila merancang untuk memperkenalkan Pelan Strategik Memerangi Dadah Kebangsaan dan usaha tersebut disokong banyak pihak termasuk bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta bekas Ketua Pengarah Penjara, Tan Sri Mohd. Zaman Khan berikutan ancaman dadah yang kian kronik ketika ini. Bagaimanapun, selaku tokoh yang banyak pengalaman dalam menangani isu dadah sepanjang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara, beliau menekankan betapa pentingnya aspek pencegahan apabila menegaskan, sudah sampai masanya kerajaan memerangi dadah sebagaimana negara memerangi komunis sebelum ini yang akhirnya membuahkan kejayaan. Pada masa yang sama, Mohd. Zaman menggesa kerajaan agar segera mewartakan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya dan beliau berharap perkara itu dapat dijayakan bersama apabila Pelan Strategik Memerangi Dadah Kebangsaan siap kelak, kerana kemudaratan yang dibawa oleh ketum jauh lebih membimbangkan. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. ASRON MUSTAPHA dan jurugambar, AIZZUL A. MAJID, beliau berkata, kerajaan tidak perlu berlembut atau tunduk kepada penentangan hanya segelintir kecil pemimpin politik dalam isu berkenaan. Mingguan: Insiden tragis pembunuhan empat ahli keluarga di Pulau Pinang dan kisah pilu hujung kaki seorang nenek tua dipotong hingga putus di Kelantan menjadi bukti betapa kesan dadah makin menggila dalam masyarakat. Daripada kaca mata seorang bekas pegawai penguat kuasa mengapa semua ini berlaku? Mohd. Zaman: Kejadian-kejadian sadis akibat dadah ini bukan perkara baharu dalam masyarakat kita tetapi dewasa ini kita lihat ia semakin menjadi-jadi dan pastinya permasalahan ini mempunyai kaitan langsung dengan keseriusan penagihan dadah dalam masyarakat. Saya sendiri rasa terpanggil apabila membaca laporan-laporan akhbar mengenai ancaman dadah di negara kita. Ini merupakan satu isyarat kecemasan yang menuntut kerajaan, pihak berkuasa serta seluruh anggota masyarakat bukan sahaja perlu membuka mata tetapi mesti disusuli dengan langkah drastik. Bagi maksud ini, saya memuji langkah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama Kementerian Dalam Negeri yang mahu mewujudkan Pelan Strategik Memerangi Dadah Kebangsaan. Pada saya, ia satu cadangan yang bagus tetapi penekanan perlu diberikan kepada golongan muda kerana kelompok inilah yang menjadi kumpulan penagih terbesar di negara kita. Penekanan itu bukan sahaja kepada penagih muda tetapi bagaimana kita mahu menggemblengkan tenaga orang muda ini untuk menyedarkan penagih-penagih muda. Tan Sri, Malaysia sudah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak 1983 tetapi selepas lebih tiga dekad berlalu, penagihan tidak berkurangan bahkan bertambah hari demi hari. Di mana salahnya pendekatan kita selama ini? Mohd. Zaman: Saya bukanlah hendak mengkritik mana-mana pihak tetapi hakikatnya dalam isu dadah ini kita tidak cukup proaktif. Ketika isu dadah mula-mula muncul dahulu, dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa itu tiada pun bahagian narkotik. Hanya selepas isu dadah makin merebak baharu kita tubuhkan narkotik. Ertinya, langkah yang kita ambil ketinggalan, iaitu hanya bertindak selepas wujudnya sesuatu isu dan bukannya kita mendahului masalah tersebut. Sekarang ini pun sama, apabila keadaan masalah dadah sudah menjadi serius di negara ini, saya lihat respon kita masih agak ketinggalan. Kita juga dilihat tidak cukup proaktif, sedangkan kita sepatutnya mencegah dengan lebih awal. Sekarang Pulau Pinang sudah pun muncul sebagai kilang syabu Malaysia. Keadaan di negeri-negeri lain terutama di Pantai Timur pun sangat buruk dan keadaan itu saya tidak nampak akan berkurangan dalam masa terdekat melainkan sesuatu yang drastik dilakukan. Jika kita kata dadah musuh nombor satu negara, kenapa kita tidak memerangi dadah ini sebagaimana kita memerangi komunis dahulu? Tentunya ada aspek pencegahan yang boleh diadaptasi, bukan maksudnya kita mengangkat senjata tetapi dalam konteks menyemai kebencian. Kita kena perangi secara bersungguh-sungguh. Dahulu bukan sahaja melalui saluran penerangan di radio atau televisyen malah hampir di segenap inci bumi Malaysia ini terpampang banner atau poster bagi memupuk kebencian rakyat terhadap komunis sehingga berjaya. Jadi kenapa kita tidak adaptasi langkah yang sama untuk memerangi dadah. Dalam keadaan sekarang apa pendekatan drastik lain yang bersifat luar kotak yang perlu dilaksanakan secara segera oleh kerajaan selain langkah-langkah yang sudah diumumkan? Mohd. Zaman: Bila kita sebut drastik ertinya tindakan yang akan membawa kepada kejayaan, drastik itu bukan hanya semata-mata hendak menghukum seperti merotan dan sebagainya. Dalam aspek drastik ini, saya rasa kita perlu beri tumpuan yang ketat kepada usaha mencegah. Usaha-Usaha mencari dan merampas dadah itu, saya rasa kita sudah berjaya walaupun kadang-kadang orang kata kita rampas itu hanya melibatkan kumpulan pengedar pertengahan ke bawah tetapi yang penting tindakan itu diambil dan membuahkan hasil. Saya sesungguhnya tidak bersetuju jika ada cadangan mahu merotan penagih. Penagih ini orang yang sakit, tak guna kita rotan dia, saya tahu betapa sakitnya mereka sewaktu saya menjadi Ketua Pengarah Penjara dahulu tetapi kalau pengedar dadah mahu dihukum rotan, saya tiada masalah. Kita selalu mendengar alasan penduduk majoriti setiap kali dibangkitkan mengapa Melayu paling ramai menagih tetapi dari satu sudut yang lain, ada hujah mengaitkan dadah ini dengan cubaan terancang untuk melemahkan bangsa Melayu itu sendiri. Bersetujukah Tan Sri dengan hujah tersebut? Mohd. Zaman: Mungkin. Malah sebelum ini pun saya ada juga mengesyaki pil kuda ini dicipta khas untuk melemahkan bangsa Melayu di selatan Thailand tetapi apabila melihat pemberontak selatan Thailand sendiri menggunakan pil kuda, saya fikir andaian saya tidak tepat. Saya tidak berani kata ini satu usaha untuk melemahkan orang Melayu sebab ada juga maklumat mengatakan pengambilan pil kuda untuk meningkatkan keberanian. Elemen-elemen seperti migrasi dan kekurangan aktiviti riadah juga pada saya menjadi antara penyumbang utama kepada faktor penagihan dalam kalangan orang Melayu. Bila berpindah ke bandar, duduk di rumah kecil yang tidak selesa dan ditambah pula aktiviti riadah terhad, mudah untuk golongan muda terjebak dengan dadah. Saya sendiri kehilangan adik kerana pil kuda, kononnya ambil pil kuda untuk memberi tenaga tambahan tetapi akhirnya meragut nyawa. * Wajibkan penagih 
ke pusat pemulihan Ada cadangan daripada pelbagai pihak yang mahu kerajaan mewajibkan penagih mendapatkan rawatan di pusat pemulihan berbanding hanya sukarela ketika ini. Bagaimana Tan Sri melihat idea ini mampu memainkan peranan dalam menangani ancaman dadah? Mohd. Zaman: Saya setuju dan ia merupakan pilihan yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan, tetapi janganlah pendekatan program rawatan itu seolah-olah seperti amalan penjara. Rawatan yang disediakan mesti bersifat seperti sebuah hospital iaitu antara doktor dengan pesakit kerana penagih ini adalah pesakit. Bagaimanapun proses keluar masuk mereka ke pusat pemulihan itu perlu dikawal kerana kita tidak mahu timbul isu lain pula kelak jika terlalu bebas. Langkah ini sebenarnya sudah pun dilaksanakan di New York. Penagih dadah yang datang mendapatkan rawatan di pusat pemilihan di sana diberikan layanan terbaik dan para jurulatih yang ditugaskan untuk memberi rawatan pula terdiri daripada bekas-bekas penagih. Jika langkah ini dapat dijayakan, model pemulihan di New York wajar menjadi salah satu rujukan kita. * Isu Ketum Banyak sudah desakan khususnya daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis supaya ketum dimasukkan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan ketika Pelan Strategik Memerangi Dadah Kebangsaan hendak digubal inilah waktu terbaik selepas usaha sebelum ini digagalkan pemimpin politik, apa pandangan Tan Sri? Mohd. Zaman: Ini yang saya tidak faham. Kenapa kita teragak-agak sangat. Isytiharkanlah kerana memang ketum sudah dibuktikan sebagai dadah. Apa kita tangguhkan lagi? Kerajaan harus tegas dalam hal ini, tunjukkan kesungguhan politik. Jika Thailand boleh bertegas dalam hal ketum ini mengapa pula Malaysia hendak berlembut? Mengapa kita perlu tunduk kepada penentangan hanya segelintir pemimpin politik. Kepada pemimpin politik yang sebelum ini menentang usaha murni itu, mereka sepatutnya insaf. Sebagai pemimpin politik sepatutnya mereka menyokong dan bersama-sama dengan agensi bertanggungjawab turun ke bawah terangkan kepada masyarakat mengenai kemudaratan ketum ini. Pada saya, kalau kita tulus ikhlas, kita pergi berkempen dan sebagainya bagi tujuan mencegah, kita akan mendapat sokongan dan undi. Sebab orang-orang tua terutama golongan ibu bapa benci dengan masalah dadah ini. Apakah kita selaku pemimpin ini hanya mementing undi, sedangkan macam-macam berita tragis berkait dadah berlaku saban hari. Nenek dipotong kaki di Kelantan dan empat ahli keluarga ditembak mati di Pulau Pinang ini semuanya berkaitan dengan dadah. Kemudaratan kepada masyarakat itu jauh lebih penting berbanding kepentingan politik peribadi dan sepatutnya mereka menjadi seorang pemimpin berjiwa besar. * Aspek Ketirisan Di sebalik kesungguhan kerajaan mahu memerangi dadah, wujud dakwaan yang mengatakan berlaku ketirisan dalam aspek penguatkuasaan sehingga dikaitkan sebagai salah satu punca yang menambah kesukaran membasmi dadah, mengapa keadaan ini berlaku? Mohd. Zaman: Itu tidak dinafikan berlaku tetapi saya yakin PDRM tegas dalam mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota yang tidak berintegriti. Pengalaman saya sendiri, semasa menjadi Ketua Polis Negeri Sembilan, kami mendapat tahu ada seorang anggota yang menjadi pengedar dadah dan saya arahkan anggota itu ditangkap ketika satu majlis makan malam anjuran PDRM sendiri. Kalau kita kata tiada ketirisan itu bohong. Sebab itu kita lihat ada kes seperti dadah hilang dan sebagainya tetapi apa puncanya? Mereka ini (sindiket dadah) banyak duit dan sesiapa yang tidak tebal nilai integiriti akan menjadi mangsa tetapi saya yakin PDRM tidak tutup mata dalam hal sebegini.
Sumber: Utusan Online