Aduan rasuah satu hadiah

MUKADIMAH

SEBUT sahaja soal penguatkuasaan integriti dan isu rasuah di negara ini, umum tahu betapa ‘garangnya’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun, masih ramai yang tidak tahu fungsi dan peranan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasan (EAIC) yang ditubuhkan sejak 2011.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan jurugambar FAISOL MUSTAFA, Pengerusi EAIC, TAN SRI MOHD. SIDEK HASSAN yang baru memegang tampuk suruhanjaya ini berkongsi pandangan tentang isu integriti di negara ini.

CABARAN EAIC

Rasional penubuhan dapat dicapai dengan baik walaupun EAIC tidak besar. Kita ditubuhkan pada 1 April 2011. Jumlah kakitangan kita ada setakat ini 67 orang, tidak termasuk saya. Pada masa ini, kami perlu jaga 21 agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen. Kalau saya jadi pengadu, sudah tentu saya mahu tindakan diambil. Sebagai orang awam, mereka perlu faham, hakikatnya kita ada banyak kekangan dan kes yang lebih serius dengan peruntukan RM7 juta setahun.

RASUAH PENJAWAT AWAM

Bercakap pasal rasuah, memang banyak dan tidak mungkin ada perbincangan macam ini kalau tiada rasuah. Pada saya, (perbincangan) ia satu benda yang sihat. Kita mengakui rasuah itu ada.

Memang tidak mungkin ada situasi yang mana tiada rasuah atau salah guna kuasa. Negara jiran pun ada. Begitu juga Malaysia. SPRM pun ada banyak kes. Cuma soalnya, sama ada ia berleluasa atau tidak berbanding dahulu? Jika mahu dibandingkan, masyarakat tidak sembang sangat pun mengenai isu rasuah pada masa lalu. Zaman nabi pun ada nakal-nakalnya. Budaya masa itu juga tidak mahu malukan orang. Sekarang dengan peranan media arus perdana ditambah media sosial, masyarakat banyak yang tahu. Agensi penguatkuasaan pula berani ketengahkan kes berprofil tinggi. Saya sendiri pernah buat perkara yang hampir sama dan menggalakkan ketua jabatan hebahkan salah laku mana-mana kakitangan yang melanggar etika. Kita tidak boleh biarkan dari peringkat bawah hingga peringkat tertinggi.

Saya masih ingat lagi sewaktu jadi Pengerusi Petronas, saya terapkan prinsip zero tolerance kepada hampir 53,000 kakitangan. Bagaimanapun, adakah semuanya bersih? Harus akan ada yang buat sesuatu melanggar integriti. Apabila dapat tahu, terus kita singkirkan dan kita akan panggil media. Kita tidak sorokkkan perkara itu, kononnya ia tidak pernah terjadi. Apa yang saya lihat, inilah pendekatan sama diambil pada masa sekarang. Kita tidak akan berkompromi, orang yang bersalah akan dihukum dengan adil serta saksama. Saya tak malu. Begitu juga kakitangan awam.

Katakanlah ada 1.6 juta orang, adakah semuanya bersih? Saya amat pasti akan ada yang nakal. PDRM juga begitu. Ia diibaratkan, harapkan pagar, pagar makan padi. Pada hemat saya, lebih banyak yang baik daripada tidak baik.

TIADA TARING?

Saya tidak bersetuju EAIC dilihat sebagai agensi yang tidak mempunyai taring. Di bawah Akta 700, kita diberikan peruntukan fungsi dan kuasa yang memberikan EAIC ‘taring’ yang sewajarnya.

Akan tetapi, saya mendapati fungsi dan kuasa yang diperuntukkan tidak dipraktikkan atau dilaksanakan sepenuhnya. Jadi, saya sebagai Pengerusi dan seluruh warga kerja EAIC akan melaksanakan semua fungsi dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta 700. Dalam pada itu, saya masih ingat, baru-baru ini ada persidangan. Antara isu yang dikupas termasuk excellent leadership and maintaining integrity dan antara tetamu jemputan adalah Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid. Saya bercakap kepada beliau, ketua yang baik adalah individu yang tidak nampak dengan pandangan mata kasar tetapi boleh dirasai dengan auranya. Kakitangan tahu akan kehadiran ketua itu. Begitu juga dengan EAIC. Tidak sebut pun tak mengapa.

Matlamat saya, mahu semua yang berada di bawah EAIC bersama-sama bekerja.

Baru-baru ini, saya ada berjumpa dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki. Saya cakap, kejayaan SPRM bukan berapa ramai pesalah ditangkap serta mempunyai bangunan yang gah. Sebaliknya, kejayaan SPRM terbukti apabila tiada lagi keperluan agensi ini ditubuhkan. Kalau orang tidak rasuah, kenapa perlu SPRM? Kalau orang tidak buat nakal, kenapa nak perlu agensi penguatkuasaan. Itu adalah cabaran yang tidak boleh dikompromi. Kalau kita buat tugas dengan baik, keperluan boleh dikurangkan. Kes banyak dan kita perlu tetapkan sasaran. Perlu diingat, rasuah juga bukan isu baharu.

Sebelum ada SPRM, sudah ada Badan Pencegah Rasuah (BPR). Ketika saya di universiti iaitu pada 1971, pensyarah saya sudah bercakap berkenaan integriti dalam subjek tertentu. Selain itu, ada juga subjek tentang pemerasan dan nepotisme. Apa yang penting sekarang, kita perlu buat kerja kita. Adakah tanda kita buat kerja apabila ada orang bercakap mengenai kita? SPRM banyak kes.

Begitu juga EAIC. Saya tidak rasa kita boleh jaga semua agensi. Kami bekerjasama baik dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), PDRM dan SPRM. Matlamat saya sekarang, setiap kakitangan sendiri terlebih dahulu perlu melaksanakan fungsi dan kuasa EAIC dan kami akan melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan yang sepenuhnya terhadap fungsi dan kuasa diberikan.

PEMERKASAAN EAIC

Dalam memperkasakan EAIC, perkhidmatan yang diberikan akan memenuhi kehendak pelanggan, di mana kami akan meletakkan diri di tempat pihak yang memerlukan perkhidmatan. Setiap warga kerja EAIC akan berfikir menjangkau abad ke-27 untuk membawa perubahan dan memastikan yang terbaik kepada perkhidmatan. Setiap aduan di EAIC akan dianggap sebagai satu hadiah.

Tindakan siasatan proaktif terhadap aduan yang diterima EAIC dan penyelesaian aduan yang cepat akan menaikkan kredibiliti dan kepercayaan orang awam kepada agensi penguatkuasaan, kerajaan dan negara.

Bagaimanapun, EAIC bukan membuat kerja secara terburu-buru dan yang membawa kepada penganiayaan. Kami tidak mahu dipergunakan oleh mana-mana pihak berkepentingan untuk melakukan penganiayaan. Kami sebagai sebuah agensi yang melaksanakan fungsi badan pengawasan integriti dalam kalangan agensi-agensi penguatkuasaan mempunyai tugas berat. Sebagai sebuah badan pengawasan integriti, EAIC akan menjadi yang terbaik dari segi integritinya. Dan tanggungjawab ini akan dipikul secara kolektif oleh setiap individu di EAIC.

TIADA KUASA PENDAKWAAN

Apa masalahnya kalau SPRM tiada kuasa pendakwaan? Ibarat mereka hakim dan mereka jugalah pendakwa raya. Jadi, mana keadilannya? Kita perlu ingat, ada orang SPRM di Jabatan Peguam Negara. Begitu juga di EAIC. Adakah kuasa mendakwa juga perlu ada pada EAIC? Apabila disatukan semua kuasa kepada satu-satu agensi, itu tidak adil. Bagaimana pula dengan negara lain yang ada agensi penguatkusaan seperti SPRM? Adakah mereka ada kuasa pendakwaan? Pegawai undang-undang di kementerian datang dari Jabatan Peguam Negara kecuali di badan berkanun.

Adakah kita tidak bersetuju dengan pegawai undang-undang kita nak lantik sendiri pula? Mereka (SPRM) pun ada terma-terma sendiri.

NEGARA CONTOH?

Tidak perlu. Pemimpin dan negara lain pun ada juga rasuah. Sebab itu Amerika Syarikat (AS) ada undang -undang Foreign Corrupt Pratices Act. Mana-mana syarikat dari negara terbabit yang cuba bagi rasuah kepada negara luar akan dikenakan tindakan.

Siapa pemimpin yang tiada rasuah? Semua ada dosa. Saya sendiri ada nakalnya. Lagipun, kenapa kita perlu nak role model orang? Kita tahu apa yang baik dan apa yang salah. Lupakan role model. Waktu saya sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN), saya cukup meluat apabila kita perlu tanda aras dengan negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, AS, Australia. Mengapa pula kita tidak mahu Singapura dijadikan contoh? Adakah sebab negara itu terlalu dekat? Kita perlu ingat, cabarannya adalah memastikan perkhidmatan dan kerja berada pada tahap terbaik dalam kalangan yang terbaik. Kita tahu apa itu integriti. Perkhidmatan awam pun tahu apa yang terbaik untuk pelanggan kita. Malahan, Islam dan semua agama ada terapkan perkara yang baik.

SUBJEK INTEGRITI

Pernah ada cadangan sebelum ini nak buat subjek integriti. Tetapi saya tidak setuju. Cuba timbang beg pelajar. Berat bukan? Tabiat orang kita terutama orang Melayu, apabila ada isu sahaja mesti nak buat undang-undang. Kita sudah ada (undang-undang) tapi tidak laksana. Kita juga sudah ada banyak subjek untuk pelajar sekolah. Selain itu, perlu ada guru-guru yang mengajar subjek integriti. Masa saya KSN, ada lebih 10,000 sekolah. Apa yang perlu, ada integriti dalam semua subjek. Bila mengajar ekonomi perlu ada elemen atau aspek integriti dalam subjek tersebut.

Begitu juga apabila belajar undang-undang atau sejarah. Contohnya, menjadikan cerita zaman khalifah yang boleh dijadikan nilai-nilai contoh. Lagipun kita perlu ingat, integriti melibatkan semua, bukan hanya guru. Apa yang lebih penting, apabila bercakap dan mahu mendidik mengenai integriti, ia bukan sekadar menerima, meminta (rasuah), peras ugut, salah guna kuasa atau penyelewenagan, tetapi ia adalah termasuk dalam amal makruf nahi mungkar.

PERLU IPCC?

Tidak perlu Suruhanjaya Bebas Tatajelakuan Polis (IPCC). Kenapa nak diadakan? Dahulu nak wujudkan IPCC (sebelum ini dikenali Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) mungkin ada faktor tertentu. Bagaimanapun, saya sebagai Pengerusi EAIC akur dengan keputusan kerajaan. Saya percaya apabila dilaksanakan dan digubal menjadi undang-undang, ia akan membuahkan sesuatu yang baik.

MEDIA SOSIAL

Penggunaan media sosial sebagai salah satu medium untuk mengekang rasuah sangat membantu. Kalau niat ikhlas ditambah dengan pelaksanaan baik tanpa ada niat untuk menganiaya sesiapa, saya fikir ia sesuatu yang perlu disambut baik. Dengan syarat, perlu adil dan saksama.

HALA TUJU EAIC

Mengambil kekangan yang ada dengan bilangan yang kecil dan saya tidak bercadang tambah kakitangan. Apabila IPCC ‘terbentuk’ nanti, PDRM akan dikeluarkan daripada EAIC dan mungkin ada jabatan lain yang masuk di bawah kami. Cuma apa yang penting buat masa ini, saya tidak mahu ubah visi dan mahu terus fokus dengan memberi keutamaan kepada perkara pokok.

Apa yang kita mahu sebenarnya? Kita perlu ada keutamaan. Kita nak supaya aduan salah laku semua agensi di bawah EAIC tiada lagi atau berkurangan. Bukan sebab sorok, tapi ada kesedaran agensi penguatkuasaan. Kami serius untuk pastikan tiada salah laku. Saya ambil iktibar daripada ketua-ketua yang saya jumpa dan percaya serta yakin, agensi ini lebih ‘suka’ membuang duri dalam daging sendiri daripada agensi lain yang buat.

Sumber : Utusan Malaysia 

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.