Putrajaya: 'Biasakan yang betul, betulkan yang biasa'.
Peringatan itu diberikan kepada setiap pegawai dan anggota agensi penguat kuasa supaya tidak terjebak dengan kegiatan salah guna kuasa serta masalah integriti.
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Ismail Bakar berkata, tindakan tanpa kompromi akan diambil termasuk penamatan perkhidmatan kepada mana-mana individu yang ingkar.
Menurutnya, tindakan tegas itu perlu diambil bagi memastikan integriti dalam kalangan agensi penguat kuasa pada tahap tertinggi.
"Jika sesuatu kesalahan dibiarkan berlarutan, ia akan menjadi kebiasaan dan dianggap normal.
"Ketua jabatan harus bertanggungjawab memastikan setiap pegawai mematuhi peraturan yang ada, tanpa mengira betapa kecilnya sesuatu kesalahan.
"Langkah tegas ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan EAIC untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang dan prosedur dilakukan dengan telus dan mengikut prinsip integriti," katanya pada sesi temu bual bersama Harian Metro.
Beliau berkata, setiap agensi penguat kuasa perlu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang betul bagi membentuk budaya kerja yang beretika dan berintegriti.
Menurutnya, EAIC memperkenalkan konsep 'liabiliti kepada ketua jabatan' supaya setiap ketua jabatan memantau dan memastikan anggota bawahan mereka bertugas mengikut SOP ditetapkan.
"Memang usaha ketua jabatan untuk memastikan (pematuhan peraturan), tidak kira KSU (ketua setiausaha), atau ketua jabatan, perlu memantau kerana usaha pencegahan ini mereka perlu lakukan sendiri orang lain tidak boleh betulkan.
"Bak kata pepatah, 'kalau sesuatu bangsa itu mahu berubah, mereka perlu ubah diri sendiri, orang lain tidak boleh ubah untuk mereka', bermaksud kalau ada isu (dalaman) ketua jabatan perlu mengubah apa yang tidak betul.
"Dia perlu teliti semula SOP dan betulkan, kita (EAIC) hanya berikan syor dan cadangan penambahbaikan SOP tetapi bergantung atas mereka untuk betulkan," katanya.
Ismail berkata, ramai yang beranggapan sesuatu kesalahan itu sebagai 'biasa' kerana ia kerap berlaku membabitkan ramai pihak termasuk segelintir ketua jabatan itu sendiri.
Katanya, banyak jenis salah laku terjadi dalam agensi penguatkuasaan yang agak sukar dibuktikan di mahkamah dan perkara sebegini kini membarah.
"Benda ini sudah jadi normal kerana sudah biasa buat, sudah jadi kebiasaan, itu yang berlaku sekarang dalam agensi penguatkuasaan.
"Contoh, ada satu kes yang mana ada sebuah jabatan ini, dia tidak patuh keputusan mahkamah, kita sudah cadangkan tindakan tetapi dia tidak ambil, ini satu kesalahan yang serius tetapi mereka tidak peduli, sebab apa? Sebab sudah biasa," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan tanpa kompromi perlu diambil dalam kadar segera oleh ketua-ketua jabatan bagi menangani isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota seliaan mereka.
Katanya, peraturan dan prosedur, termasuk tindakan tatatertib, perlu dilaksanakan dengan telus, konsisten serta paling penting mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Ismail berkata, sekiranya pegawai atau anggota berkenaan terbabit dengan kesalahan serius, ketua jabatan perlu melaksanakan polisi keluar atau penamatan perkhidmatan penjawat awam mengikut Peraturan 49 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam [P.U. (A) 395/1993].
"Walaupun agensi penguatkuasaan tidak terikat dengan syor yang dibuat oleh EAIC, namun EAIC mengambil langkah proaktif dalam memastikan tindakan yang sesuai diambil terhadap pegawai terbabit salah laku.
"EAIC akan meminta penjelasan daripada agensi berkaitan mengapa mereka tidak mengikuti syor atau cadangan yang diberikan oleh EAIC ini dilakukan bagi memastikan kebertanggungjawaban agensi terbabit," katanya.
Ditanya berkaitan cabaran dihadapi EAIC dalam menyiasat salah laku agensi penguat kuasa, Ismail mengakui tugas itu memang mencabar namun pihaknya menekankan pendekatan yang seimbang antara elemen lembut dan tegas.
"EAIC tidak mahu dilihat sebagai musuh, sebaliknya kami lebih mengutamakan kerjasama yang baik dengan semua 21 agensi penguatkuasaan yang berada di bawah pemantauan kami.
"Tujuan utama EAIC bukan untuk memburukkan imej agensi penguatkuasaan, tetapi untuk memastikan bahawa mereka beroperasi dengan prinsip integriti dan ketelusan.
"Pendekatan ini membolehkan EAIC menjalinkan hubungan yang lebih positif dengan agensi penguatkuasaan dan memastikan mereka berfungsi dengan lebih efisien dalam mencegah serta menangani masalah integriti," katanya.
Sumber : Harian Metro