SHAH ALAM - Orang awam yang ditahan oleh pegawai penguat kuasa untuk siasatan atau pemeriksaan berhak mengetahui alasan tindakan berkenaan diambil.
Pegawai Undang-Undang, Bahagian Operasi EAIC, Nura Ashikin Mior Muhamad Sharudin berkata, jika mana-mana pegawai penguat kuasa gagal memberikan alasan yang jelas dan sewajarnya kepada individu yang terlibat, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai salah laku.
“Undang-undang berkaitan perkara ini antara tujuh perkara yang termaktub dalam Akta Suruhanjaya Integriti dan Penguatkuasaan (EAIC) Akta 700 yang jika tidak diikuti oleh pegawai penguat kuasa boleh dikenakan tegas,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Antara kesalahan lain yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 700 termasuklah penguat kuasa melakukan tindakan berlawanan dengan undang-undang.
“Dalam beberapa kes, tindakan pegawai penguat kuasa mungkin melibatkan elemen jenayah. Ini berlaku apabila tindakan yang diambil oleh pegawai tersebut melibatkan pelanggaran undang-undang yang serius dan berpotensi merosakkan hak individu atau keselamatan awam.
Tegasnya, dalam kes kematian seorang individu yang ditahan, siasatan mendapati bahawa kematian tersebut disebabkan oleh penyeksaan atau kekerasan yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa.
“Jika bukti menunjukkan bahawa pegawai tersebut menggunakan kekerasan yang berlebihan atau melakukan penyeksaan terhadap individu tersebut, tindakan ini bukan sahaja dianggap sebagai salah laku pentadbiran, tetapi juga satu perlakuan jenayah yang serius,” katanya.
Selain itu, beberapa kesalahan lain yang kerap dikesan dilakukan pegawai penguat kuasa ialah melakukan tindakan tidak munasabah, menindas, membuat pertimbangan tidak wajar, kesilapan dalam memahami fakta dan gagal mengikuti prosedur yang ditetapkan.
Tambahnya, proses penentuan sama ada sesuatu tindakan atau aduan melibatkan salah laku hanya akan dilakukan setelah siasatan selesai dan semua bukti, keterangan, serta dokumen sokongan dikumpulkan.
“Jika siasatan mendapati ada elemen salah laku, EAIC akan mengklasifikasikan kes tersebut mengikut kategori yang sesuai,” katanya.
Nura Ashikin berkata, untuk aduan berkaitan rasuah membabitkan pegawai penguat kuasa, EAIC akan menyiasat dari sudut salah laku, manakala isu rasuah akan diserahkan kepada SPRM.
“Semua aduan tetap dinilai terlebih dahulu oleh EAIC sebelum sebarang keputusan diambil,” ujarnya.
EAIC vs Biro Pengaduan Awam (BPA): Apa Yang Membezakan Kedua-duanya?
EAIC dan BPA kerap disamakan kerana kedua-duanya menerima aduan daripada orang ramai. Namun, terdapat perbezaan yang jelas antara kedua-dua agensi ini. EAIC mempunyai kuasa untuk menyiasat kesalahan yang melibatkan 21 agensi penguat kuasa, sementara BPA berfungsi sebagai penerima aduan dan menyalurkan aduan tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan. EAIC memberi tumpuan kepada salah laku pegawai penguat kuasa, manakala BPA menangani aduan.
Sumber : Sinar Harian