BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 6 Januari depan untuk sebutan semula bagi penyerahan dokumen kes rasuah yang dihadapi dua anggota polis pada tahun 2010.
Hakim Julie Lack menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Syahrul Khuzaini Amiruddin yang memohon supaya kesemua kes digabung dan dibicarakan pada hari yang sama.
Tertuduh, Konstabel Zaidi Tahir, 27, menghadapi tiga pertuduhan manakala Lans Koperal Ismail Mohammad Bohari, 35, berhadapan dengan dua pertuduhan bersubahat melakukan rasuah.
Zaidi dituduh meminta suapan RM10,000 daripada Lee Chia Yoong sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadapnya dan Lee Theng Theng, kerana disyaki memiliki 96 biji pil Eramin 5.
Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Kampung Puyu dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari, pada 6 November 2010.
Zaidi didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Dia juga dituduh menerima suapan RM5,000 daripada Chia Yoong pada pukul 1 tengah hari, 6 November 2010 dan menerima RM3,000 antara 5 petang dan 5.15 petang pada 10 November 2010 di Stesen Minyak Caltex, Jalan Raja Uda SPU.
Sementara itu, Ismail pula dituduh bersubahat dengan Zaidi menerima suapan bernilai RM5,000 dan RM3,000 pada tarikh, masa dan tempat yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Zaidi diwakili peguam C.P Ang manakala Ismail tidak diwakili peguam.
Sumber : Berita Harian