Ketua pengarah imigresen menyeru institusi pengajian swasta melaporkan kepada kementerian supaya pelajar itu boleh dikesan.
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen mengakui tidak banyak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melaporkan pelajar asing mereka hilang kepada imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata kebiasaannya pelajar asing yang hilang itu menyalahgunakan pas pelajar, tidak menghadiri kuliah dan terlibat dalam aktiviti jenayah.
Ada beberapa institusi yang (menyamar) memperlihatkan imej institusi pengajian tetapi sebenarnya tempat pengajian tidak digunakan.
Mereka yang datang bukan belajar tetapi bekerja termasuk melakukan aktiviti haram seperti pelacuran, rumah urut, ada berkhidmat sebagai pelayan pelanggan (GRO), katanya di ibu pejabat Imigresen semalam.
Seorang pakar keselamatan sebelum ini pernah menggesa kerajaan supaya mengambil langkah lebih tegas untuk mengawasi pelajar asing ekoran laporan lebih ramai pelajar dari Nigeria ditahan untuk jenayah.
Perunding utama JK Associates Khen Han Ming berkata banyak penjenayah Nigeria memasuki negara itu menyamar sebagai pelajar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kebanyakan warga Nigeria memasuki negara ini dengan pas pelajar.
Menurutnya, berdasarkan statistik tangkapan bagi tahun 2015, 2016 dan tahun ini, 358 pelajar warga asing ditahan atas kesalahan pemilikan dan pengedaran dadah.
Bagi ketiga-tiga tahun itu, pelajar warga Nigeria mendahului pelajar 10 negara lain termasuk Bangladesh, Yaman, Sudan, Pakistan, Libya, Syria, Jordan, Palestin, Arab Saudi dan lain-lain.
Daripada jumlah itu, 122 pelajar dari Nigeria di mana 33 ditahan pada 2015, 63 pada 2016 dan 26 antara Januari hingga Mei tahun ini, katanya.
Mustafar berkata pihaknya berharap IPTS melaporkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi berhubung pelajar asing yang hilang dan menyalahgunakan pas pelajar bagi tindakan selanjutnya.
Katanya, sekiranya IPTS tidak melaporkan kepada imigresen, pihaknya akan mencari maklumat pelajar itu melalui kerjasama dengan KPT.
Kita akan cari pelajar asing ini melalui kerjasama dengan KPT. Dari segi peraturan KPT akan ambil tindakan. Tetapi di peringkat kita ada tindakan lebih profesional akan diambil, katanya.
Sumber : Free Malaysia Today