PUTRAJAYA -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan menjalankan siasatan penuh terhadap aduan kelemahan penguatkuasaan oleh dua agensi penguatkuasaan berkaitan pencerobohan bot-bot pukat 'kenka' di kawasan pesisiran pantai Kuala Kurau, Perak. Setiausaha EAIC Kamal Baharin Omar berkata suruhanjaya itu menerima aduan daripada nelayan dan persatuan nelayan pantai mengenai kelemahan atau ketiadaan penguatkuasaan undang-undang atau peraturan pelesenan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan berhubung pencerobohan itu. Bagi tempoh Januari 2012 hingga Oktober 2013, sebanyak 86 aduan dibuat kepada APMM Pangkalan Kuala Kurau, Perak bagi penguatkuasaan dan tindakan terhadap masalah pencerobohan bot-bot pukat 'kenka' itu. "Bagaimanapun, tiada langkah-langkah atau penguatkuasaan undang-undang dan peraturan pelesenan diambil secara berkesan atau efektif oleh agensi penguatkuasaan terlibat," katanya dalam kenyataan Jumaat. Beliau berkata bot pukat 'kenka', yang dilesenkan Jabatan Perikanan bagi menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan perairan negara melebihi lima batu nautika dari pantai, dikatakan berterusan menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan hasil laut dalam lingkungan lima batu nautika yang melanggari syarat-syarat pelesenan. Kamal Baharin berkata penarikan pukat yang diikat pada dua bot 'kenka' secara dilabuh ke dasar laut dan dinaikkan secara tarikan melalui dua bot 'kenka' yang dipandu laju memerangkap pelbagai sepsis ikan dengan menjadikan sasaran utama kepada ikan bawal lambak, senangin, udang, ketam dan anak-anak ikan. "Aktiviti penangkapan ikan oleh bot-bot pukat 'kenka' itu telah menjejaskan hasil tangkapan dan pendapatan nelayan-nelayan pesisir pantai serta menghakis eko-sistem hidupan laut. "Suruhanjaya mendapati perkara pengaduan itu mempunyai kepentingan yang signifikan kepada orang ramai. Demi kepentingan awam, penyiasatan penuh dilakukan bagi mendapatkan keterangan dan dapatan berkaitan kelemahan atau ketiadaan penguatkuasaan undang-undang atau peraturan pelesenan yang berkaitan bot-bot pukat 'kenka'," katanya. Menurutnya APMM dan Jabatan Perikanan adalah antara 21 agensi penguatkuasaan di bawah kawal selia EAIC mengikut Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009. Selaras dengan kuasa-kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 31 dan dibaca bersama Seksyen 28 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009, suruhanjaya itu memutuskan supaya siasatan penuh diadakan terhadap pengaduan yang diterima. Kamal Baharin berkata saksi-saksi daripada persatuan nelayan pantai terbabit dan pegawai dari agensi-agensi penguatkuasaan akan dipanggil bagi memberi keterangan. Orang awam atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat yang berkaitan perkara itu diminta memberikan maklumat di laman sesawang EAIC di www.eaic.gov.my  atau menghubungi talian aduan 03-8888 6618, 03-8888 6509, 03-8888 2184 atau e-mel ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Sumber : Bernama

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.