ALOR GAJAH - Pak cik sedih dan kecewa, dah berpuluh tahun tunggu namun sampai sekarang masalah status warganegara pak cik belum berakhir, sedangkan keadaan pak cik makin uzur, kata warga emas, Tamrin Ismail, 74, dari Kampung Tahir Kaya, Masjid Tanah.
Tamrin berkata, disebabkan masalah kewarganegaraan juga menyebabkannya sukar untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital kerajaan, selain tidak dapat menikmati hak keistimewaan sebagai warganegara Malaysia biarpun dilahirkan di Benut Pontian, Johor.
Menurutnya, dia sebelum ini pernah memiliki surat beranak, bagaimanapun dokumen tersebut hilang sebelum dia kemudiannya berhijrah ke Singapura bersama kakaknya dan bekerja sebagai pembantu jurujual di pasar.
Disebabkan masalah ini juga pak cik gagal untuk memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hampir berputus asa. Pak cik juga pernah panjangkan perkara ni kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun masih belum ada maklum balas.
Pak cik harap selagi masih ada usia dapatlah memiliki MyKad sebab dah lama mohon. Malah masih ada saudara pak cik yang dilahirkan dan menetap di Benut, Pontian, katanya.
Sementara itu, anaknya, Arif, 29, berkata, sebelum ini bapanya juga pernah memiliki pasport terhad Malaysia, namun ia masih gagal untuk membuktikan bapanya seorang warganegara Malaysia.
Malah menurut Arif, bapanya juga pernah ke Pontian untuk mencari bukti kelahiran, namun maklumat yang diterima JPN Pontian tidak sama apabila mendapati namanya dicatat sebagai Mohd Khamrin Ismail dan bukannya Tamrin Ismail.
Arif juga bingung dan buntu mengenangkan masalah yang menimpa ayahnya biarpun dia tiga beradik yang lain, serta ibunya adalah warganegara Malaysia.
Kasihan ayah, jika dulu dia boleh bergerak ke sana sini untuk berusaha mendapatkan MyKad, namun kesihatannya semakin merosot dan sukar untuk bergerak.
Tolonglah bantu ayah kami dan harapan saya untuk lihat ayah memiliki MyKad jadi kenyataan, bukan hanya angan-angan, katanya.
Jelasnya, dia juga pernah memanjangkan masalah itu kepada Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional Negeri (Pembela BN) sejak dua tahun lalu, namun sehingga kini belum menerima maklum balas positif daripada pihak berkenaan.
source : SINAR HARIAN ONLINE