Jabatan Imigresen mewajibkan semua pekerja asing yang akan bekerja di negara ini membuat pengecaman cap jari biometrik sebelum menjalani saringan kesihatan di 3,000 klinik panel Agensi Pemantauan Pemeriksaan Saringan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) seluruh negara bermula Oktober ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pengecaman itu dilakukan bagi mengesahkan identiti mereka berikutan adanya kes pekerja asing menggunakan individu lain untuk menjalani saringan kesihatan.
“...terdapat beberapa kes pekerja asing yang menggunakan individu lain untuk tujuan saringan kesihatan. Walaupun kes itu agak kecil tetapi kita tidak mahu berkompromi soal ini sebab kita hanya mahu mereka yang sihat sahaja bekerja di negara ini," katanya kepada pemberita selepas prapelancaran sistem Biometrik itu di Seksyen 7 di Shah Alam semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA Datuk Mohd Hatar lsmail.
Mustafar berkata sistem pengecaman cap jari Biometrik telah dilaksanakan sebelum ini namun ia tidak menyeluruh di klinik-klinik
Beliau berkata saringan kesihatan itu juga penting bagi mengenal pasti pekerja asing yang menghidap penyakit berjangkit seperti Tuberculosis atau Tibi (batuk kering), Hepatitis dan STD (penyakit jangkitan seksual).
“Kita adakan pendekatan ini sebagai penambahbaikan terhadap sistem Biometrik sedia ada dengan ia menjadi lapisan kedua saringan identiti pekerja asing di negara ini,†jelas beliau.
Menurutnya sistem itu akan diintegrasikan dengan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMS) yang dibangunkan dan dikendalikan oleh syarikat HeiTech Padu Berhad.
Mengulas lanjut, Mustafar berkata sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, seramai 407, 870 pekerja asing telah diperiksa untuk saringan kesihatan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 10,618 atau 2.6 peratus pekerja asing gagal saringan kesihatan dengan majoritinya menghidap Tibi, Hepatitis B dan STD.
"Mengikut rekod, pekerja Indonesia menduduki tangga teratas tidak lulus saringan kesihatan dengan mencatat 3,129 kes diikuti Nepal (3,021) dan Bangladesh (1,643). Mereka yang gagal saringan kesihatan itu akan segera dihantar pulang ke negara masing-masing,†katanya.
source: Malaysia Kini