JOHOR BAHARU -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan penyeludupan masuk 986,000 bungkus rokok putih bernilai RM11.511 juta termasuk cukai di Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini Sabtu lepas. Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata kesemua rokok jenama 'Modeng' yang dibawa masuk menggunakan sebuah kapal itu dikesan sepasukan anggota kastam yang melakukan pemeriksaan terhadap dua kontena kira-kira pukul 10.30 pagi. "Terdahulu, anggota kastam yang menyemak daftar muatan kapal terbabit pada Jumaat lepas mendapati kapal itu membawa dua kontena yang diisytihar sebagai membawa pelbagai barangan yang diimport sebuah syarikat beralamat di bandar raya ini. "Bagaimanapun siasatan ke atas alamat pengimport tersebut mendapati terdapat percanggahan kerana alamat berkenaan merupakan alamat sebuah syarikat lain yang menjalankan perniagaan logistik," katanya kepada pemberita di Menara Kastam di sini Isnin. Beliau berkata susulan dari itu, anggota kastam membuat pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua kontena berkenaan pada keesokan harinya dan menemui 986,000 bungkus rokok yang dianggarkan bernilai RM1.577 juta dengan cukai sebanyak RM9.934 juta. Khazali berkata siasatan lanjut mendapati kapal berkenaan didaftarkan di Perancis dan memasuki Pelabuhan Tanjung Pelepas dari Pelabuhan Singapura. "Kita percaya kesemua rokok ini adalah untuk pasaran tempatan dan usaha kini sedang dilakukan untuk mengetahui dari mana rokok itu berasal," kata beliau. Beliau berkata rampasan tersebut adalah yang terbesar di negeri ini setakat ini tahun ini dan kesemua rokok berserta kedua-dua kontena itu akan disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Zon Bebas dan dibaca bersama Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Sumber : Bernama

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.