KUALA LUMPUR -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Yaacob Md Sam sebagai Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Okt. Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri di sini Rabu, Seri Paduka Baginda juga memperkenankan pelantikan tujuh orang Pesuruhjaya suruhanjaya itu selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700]. Tiga orang Pesuruhjaya dilantik semula iaitu Tan Sri Dr Zulkefli A.Hassan, Datuk Seri Robert Jacob Ridu dan Vinayak Prabhakar Pradhan manakala empat lagi Pesuruhjaya baharu turut dilantik termasuk Yaacob, Leong May Chan, Dr Anis Yusal Yusoff dan Lee Sow Siong. "Dengan pelantikan itu diharap dapat melonjakkan lagi nama, imej dan kredibiliti suruhanjaya itu dan seterusnya memberi impak dan keberhasilan yang lebih efektif ke arah melahirkan agensi penguatkuasaan yang berintegriti tinggi di negara ini. "Diharapkan juga agar segala kerjasama yang telah diberikan oleh agensi-agensi penguatkuasaan, badan-badan bukan kerajaan dan khususnya orang ramai dapat diteruskan bagi membolehkan suruhanjaya itu melaksanakan fungsinya dengan lebih efektif dan efisien," kata kenyataan itu.

Sumber : Bernama Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.