Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Sakib Kusmi berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat daripada bahagian risikan agensi itu.

Katanya, berdasarkan maklumat awal terdapat 4,200 warga Myanmar merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di situ.

Kata beliau, siasatan pihaknya mendapati terdapat empat kategori warga asing di pusat peranginan itu iaitu pelancong, pekerja yang ma­suk secara sah, PATI dan pemegang kad UNHCR.

“Maklumat seperti inilah yang diperlukan bagi membantu pihak kami mengambil tindakan sewajarnya kerana sukar bagi kita untuk bertindak berhubung satu-satu kes sekiranya tiada maklumat.

“Terima kasih juga kepada pihak media yang menyalurkan maklumat seperti ini dan kita akan segera melakukan siasatan sebelum operasi bersepadu besar-besaran dilaksanakan selepas menerima laporan daripada bahagian risikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia tentang kebanjiran warga Bangladesh di Cameron Highlands yang melakukan pelbagai aktiviti termasuk kegiatan ekonomi seperti menyewa kebun, mengupah warga asing bekerja dan membuka kedai runcit.

Mengulas lanjut, kata Sakib, pihaknya perlu melakukan siasatan dan risikan terlebih dahulu memandangkan kawasan itu sedang rancak membangun yang secara tidak langsung memerlukan pekerja asing yang ramai.

“Kami akan menyiasat perkara ini secara menyeluruh supaya satu tindakan yang lebih berkesan dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sakib juga memohon kepada PATI serta majikan untuk menyerah diri sebelum 31 Disember ini bagi memastikan mereka terselamat daripada tindakan undang-undang yang lebih tegas.

Jelasnya, sejak Julai lalu sehingga September, seramai 45,000 PATI telah menyerah diri kepada Imigresen berbanding hanya 20,000 yang ditangkap dalam operasi yang dijalankan sejak awal tahun lalu.

“Saya berharap lebih ramai PATI dan majikan tampil untuk menyerah diri sementara kerajaan memberi peluang kepada mereka untuk pulang secara suka rela atau mendaftar secara sah,” ujarnya.

Sumber : Utusan Online