Sepang: Operasi khas banteras perjudian haram dikenali Ops Dadu membuat 3,665 serbuan ke premis judi haram selain memberkas 364 suspek dan merampas 3,015 mesin judi berkomputer di seluruh negara sejak dilancarkan empat hari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya juga optimis untuk membanteras isu mesin perjudian haram di seluruh negara dalam tempoh tujuh hari bermula 26 Oktober lalu seperti diarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata, pihaknya yakin tempoh operasi masih berbaki dua hari dapat digunakan sebaik mungkin untuk membanteras mesin perjudian haram di seluruh negara.
"Walaupun terdapat kekangan namun, kami akan memastikan operasi mesin perjudian haram dapat dibanteras sepenuhnya.
"Buat masa ini, setiap kontinjen negeri sudah mewujudkan skuad khas bagi membanteras kegiatan itu di peringkat negeri," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pagi ini.
sumber : myMetro