KUALA LUMPUR -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggap rakyat di negara ini sebagai pemantau terbaik dalam memastikan anggotanya berintegriti dan tidak terlibat dengan jenayah mahupun rasuah. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata walaupun PDRM dipantau oleh beberapa agensi antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi baginya rakyat adalah pemerhati secara keseluruhan. Beliau berkata PDRM menerima apa jua pandangan dan salah laku warganya yang disuarakan rakyat di media sosial seperti Facebook mahupun Youtube yang kini menjadi antara medium utama masyarakat di negara ini. "Jika ada warga PDRM yang terlibat dalam kes jenayah di mana-mana sahaja, rakyat negara ini sekarang mempunyai 'telefon pintar', apa jua salah laku polis akan diambil gambar dan dimuatnaik ke Youtube. "Apabila ini berlaku, PDRM akan segera mengambil tindakan dan menyiasat anggota yang melakukan jenayah, sebab itulah saya menganggap masyarakat sebagai pemerhati terbaik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis upacara pengiktirafan kuda-kuda baharu polis, di Unit Berkuda, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Cheras pada Khamis. Khalid berkata rakyat boleh memantau apa jua perkara yang melibatkan PDRM dan pada masa sama boleh memperbaiki dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan polis. Beliau berkata demikikan ketika diminta mengulas mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). "PDRM bersedia untuk melihat dan mengkaji sebarang kertas cadangan yang dikemukakan sebelum memberi apa-apa ulasan mengenai IPCMC," katanya. IPCMC adalah sebuah badan pengawas polis yang pertama kali dicadangkan penubuhannya oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menambah baik pasukan polis pada 2005. Tahun lepas, media tempatan melaporkan Khalid menyatakan IPCMC tidak perlu ditubuhkan kerana Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) mampu mengendalikan isu berkaitan integriti dan disiplin anggota polis. Sementara itu, Khalid turut memberi pengiktirafan kepada 30 ekor kuda baharu kepada Unit Berkuda, PSP di Cheras, hari ini. "Memandangkan keperluan tugas itu, PDRM telah membeli sebanyak 30 ekor kuda yang diterima pada hari ini adalah daripada baka jenis 'warm blood', Polo Australia dan Arab...kuda ini akan menggantikan kuda lama yang telah uzur dan tua," katanya.
Sumber : Bernama Online