PADANG BESAR - Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh ditahan dalam Op Cantas Khas ketika menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Beseri di sini, malam tadi.
Kesemua PATI tersebut ditahan dalam sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Beseri, kira-kira pukul 10 malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Md. Rafae Hassan memberitahu, ketika ditahan, PATI tersebut dalam perjalanan dari arah Wang Kelian ke Kangar.
Menurut beliau, kesemua PATI yang ditahan itu berumur dari 19 hingga 26 tahun.
Katanya, turut ditahan pemandu kenderaan tersebut yang merupakan warga tempatan.
"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63," ujar beliau.
Sumber : Utusan Online