PUTRAJAYA,  (Bernama) -- Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menyarankan agar Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) dijadikan sebuah badan berkanun. Beliau berkata saranan itu tertakluk kepada syarat Skim Pinjaman Perumahan yang bakal diwujud dengan mengekalkan faedah sedia ada yang dinikmati penjawat awam ketika ini. "Pengurusan pinjaman perumahan di bawah badan berkanun tidak akan merugikan penjawat awam malah perkhidmatan (akan menjadi) lebih cekap dan berkesan," katanya mengulas laporan bantahan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung pemansuhan BPP. Penggantian BPP dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau institusi kewangan dibimbangi akan menyebabkan penjawat awam tidak lagi mendapat kemudahan pinjaman perumahan sedia ada. Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu wakil Pemuda Umno Malaysia dan Suara Anak Muda 1Malaysia berkaitan penyerahan memorandum kepada pihak kementerian mengenai Bajet 2015. Ahmad berkata BPP bersama dengan perunding yang dilantik bagi proses pemerbadanan itu sedang menyediakan Rang Undang-Undang Penubuhan Badan Berkanun Berkenaan Skim Saraan Baharu bagi kakitangannya. Perbincangan dengan Cuepacs dijangka dilakukan apabila rang undang-undang itu diluluskan, katanya. Mengulas pertemuan dengan wakil Pemuda Umno Malaysia dan Suara Anak Muda 1Malaysia, beliau berkata antara isu yang dibangkit ialah peningkatan kos dalam kalangan belia terutama di kawasan bandar termasuk kesukaran memiliki rumah, cara menangani kos sara hidup serta cadangan membina perumahan untuk belia di pinggir bandar. "Kita telah menerima beribu input cadangan daripada pelbagai pihak untuk dimasuk ke dalam Bajet 2015, dan perkara itu akan diteliti satu persatu sebelum dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri pada 10 Okt nanti," katanya.

Sumber : Bernama Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.