KUALA LUMPUR - Kerajaan menanggung kerugian berjuta-juta ringgit dalam tempoh 24 jam dari segi kutipan cukai rokok dan arak apabila kegiatan penyeludupan barangan itu didakwa berlaku secara berleluasa hampir setiap hari sama ada siang atau malam di Tambak Johor dan sempadan Bukit Kayu Hitam.
Sambil mendakwa ia berlaku akibat amalan rasuah melibatkan segelintir pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di kedua-dua kawasan itu, satu sumber mendedahkan, perbuatan itu perlu dikekang segera kerana ia kini sudah berada di tahap yang serius.
Menurut sumber tersebut, penyeludupan rokok dan arak di Tambak Johor dilakukan oleh sindiket yang menggunakan perkhidmatan van.
"Sekali masuk bukan sebuah atau dua buah van yang telah diubahsuai di mana tempat duduk belakang teÂlah dialihkan dan cermin van berkeÂnaan digelapkan tetapi melibatkan antara empat hingga lima van dan ia dilakukan secara terbuka. Jumlah keseluruhan muatan untuk lima van contohnya boleh mengisi dua kontena di mana ia melibatkan duti yang dianggarkan sebanyak RM600,000 hingga RM750,000.
"Ia bermakna dalam satu malam jika sindiket berjaya membawa maÂsuk lima buah van, kerajaan kerugian RM750,000, tetapi itu baru meliÂbatkan satu sindiket. Kebiasaannya pada setiap malam lebih daripada satu sindiket menjalankan kegiatan mereka,'' kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia.
Sumber itu berkata, kebiasaannya sindiket akan mula menjalankan kegiatan penyeludupan mulai teÂngah malam hingga awal pagi kerana waktu itu suasana tidak sibuk.
"Perbuatan haram itu bukannya tidak boleh dihalang tetapi ia berlaku disebabkan sindiket sudahpun 'kaw tim' dengan segelintir anggota agensi penguatkuasa tersebut termasuk dari segi jadual bertugas bagi memastikan hanya anggota yang sudah menerima habuan mereka sahaja bertugas pada waktu-waktu itu,'' dakwa sumber itu.
Menjawab satu soalan, sumber itu berkata, walaupun berlaku tangkapan ke atas van tersebut tetapi ia sekadar lakonan.
"Bagi sindiket tidak ada masalah untuk mereka 'mengorbankan' sebuah van sedangkan dalam masa yang sama ada berpuluh-puluh lagi van dilepaskan,'' kata sumber tersebut.
Sumber itu berkata, tiga jenis atau jenama rokok yang paling banyak diseludup ialah Kretek, John dan Canyon.
"Selain daripada rokok, minuman keras juga diseludup masuk ke dalam negara dari Singapura,'' katanya.
Bagaimanapun sumber itu meÂngakui, tidak semua pegawai dan anggota kastam terlibat sebaliknya ada antara mereka begitu komited untuk membanteras gejala tersebut walaupun berhadapan dengan risiko ancaman daripada sindiket.
"Pegawai dan anggota kastam yang terlibat akan dijagai oleh sindiket dengan diberi bantuan saraan hidup dan habuan secara bulanan, sama ada secara tunai mahupun barangan atau bantuan bayaran bulanan kenderaan mewah mereka.
"Dalam perkara ini segala urusan pembayaran akan diuruskan oleh seorang trusted runner dalam jabatan tersebut yang bertanggungjawab mengutip dan mengagihkan kepada rakan-rakan kastam yang bersahabat dengan sindiket tersebut.
"Kalaupun ada tangkapan dibuat yang melibatkan sindiket yang lain, sindiket itu juga akan menggunakan orang hubungan mereka dalam kastam untuk membantu sindiket lain bagi melepaskan van yang ditahan dengan bayaran tertentu.
"Sindiket tidak bimbang untuk berbuat demikian kerana keuntungan yang mereka perolehi berlipat ganda tetapi yang mengalami kerugian besar ialah kerajaan dari segi kutipan cukai,'' katanya.
Di Bukit Kayu Hitam pula, barang yang paling banyak diseludup ialah arak yang diangkut dengan lori satu tan dan dibawa masuk melalui pintu belakang sebuah kedai bebas cukai.
"Pintu belakang ini dahulunya adalah tembok yang memisahkan kawasan bebas cukai dan kawasan bercukai tetapi kini digunakan sebagai akses untuk membawa keluar barangan yang diseludup melalui kedai bebas cukai tersebut.
"Walaupun ada juga dilakukan secara terang-terangan melalui pintu masuk utama tetapi paling banyak ialah melalui pintu belakang yang diwujudkan khas bagi tujuan penyeludupan, '' kata sumber itu.
Sumber tersebut berkata, kebiasaannya kegiatan haram itu dilakukan pada tengah malam sehingga awal pagi.
Sehubungan itu sumber tersebut menegaskan, sudah sampai masanya JKDM melakukan pembersihan dalam kalangan pegawai dan anggotanya yang terlibat dalam perbuatan haram berkenaan.
"Apa yang mereka lakukan adalah satu perbuatan mensabotaj ekonomi negara memandangkan kerajaan kerugian berpuluh juta dalam sebulan atau mencecah biÂlion ringgit dalam setahun kerana tidak boleh mengutip cukai daripada kedua-dua barangan itu.
"Mereka yang terlibat sama ada sindiket mahupun pegawai-pegawai penguat kuasa yang tidak berintegriti sanggup atau tidak kisah untuk memiskinkan negara asalkan rakyat negara jiran yang disyaki mendalangi kegiatan penyeludupan ini kaya,'' katanya.
Sumber : Utusan Online