ALOR GAJAH  - Kesemua pihak yang terlibat dalam menjalankan pemeriksaan ke atas apa jua pengangkutan darat diingatkan memelihara integriti serta tidak sesekali berkompromi terhadap soal keselamatan.

Pengarah Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohamad Dalib berkata, integriti sesebuah agensi itu boleh dipertikaikan jika terdapat kenderaan yang diperakui lulus pemeriksaan tetapi dikesan mempunyai pelbagai lagi kesalahan.

Menurutnya, integriti bukan hanya membabitkan agensi, malah masyarakat khususnya pemilik kenderaan juga harus memiliki sikap murni itu bagi memastikan urusan yang dijalankan membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak.

"Bagi situasi melibatkan pemeriksaan kenderaan, isu integriti berkait dengan keselamatan, jadi jika pihak terlibat mengabaikan integriti ia secara langsung mendedahkan pemandu kepada bahaya.

"Integriti bukan sahaja rasuah tetapi melibatkan sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan dan bagi orang ramai pula, integriti mereka adalah tidak sesekali menyogok pegawai yang bertugas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ketelusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Pusat Perindustrian Rembia di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Operasi Puspakom, Datuk Ooi Win Juat dan Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail.

Dalam pada itu Mohamad berkata, terdapat situasi pemilik kenderaan membuat pemeriksaan semata-mata untuk mendapatkan perakuan lulus sebelum melakukan kesalahan seperti memasang cermin gelap tidak mengikut spesifikasi.

"Inilah situasi yang dihadapi oleh JPJ di mana pemilik kenderaan cuba mengaburi mata penguat kuasa dengan perakuan lulus oleh Puspakom ke atas kenderaan mereka yang didapati terdapat pelbagai kesalahan," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk bertindak ke atas pesalah sama ada pemandu atau petugas yang menjalankan pemeriksaan jika didapati cuai menjalankan tanggungjawab.

Sumber : Utusan Online

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.