BATU PAHAT  - Kerajaan akan memperkenalkan Panduan Pembeli kepada orang ramai bagi menangani kenaikan harga barangan apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan mulai April tahun depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, panduan yang memuatkan harga produk di seluruh negara secara dalam talian itu akan mula beroperasi pada Januari tahun depan.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini sedang menyiapkan pangkalan data Panduan Pembeli berkenaan bagi membolehkan orang ramai membuat perbandingan harga barangan selain melaporkan kenaikan harga sesuatu produk.

"Panduan Pembeli itu akan lebih bersepadu apabila memaparkan perbezaan harga lebih 10,000 barangan di setiap 222 kawasan Parlimen seluruh negara bagi memudahkan pengguna menyemak harga, sekali gus mengesan jika berlaku kenaikan harga dan seterusnya membuat aduan segera kepada pihak berkuasa.

"Tindakan undang-undang juga akan lebih cekap dan mudah diambil terhadap peniaga ingkar yang menaikkan harga barangan sesuka hati berikutan kewujudan panduan berkenaan dapat memperkasakan lagi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

Beliau yang juga Bendahari UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ayer Hitam, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali.

Ahmad Husni berkata, Kementerian Kewangan juga telah meluluskan penambahan 472 kakitangan di KPDNKK sebagai langkah proaktif memantau lebih 10,000 barangan di seluruh negara apabila GST dilaksanakan kelak.

Diminta mengulas tentang Bajet 2015 yang akan dibentangkan Oktober ini, beliau berkata, kerajaan akan memberi fokus untuk melonjakkan pendapatan rakyat dan menangani kos hidup yang semakin meningkat.

"Kita akan melihat cara terbaik untuk menstabilkan harga barangan termasuk mengkaji kembali rangkaian penawaran barangan bagi memastikan kenaikan harga produk dapat dikekang, sekali gus menaikkan taraf hidup rakyat," katanya.

Sumber :Utusan Malaysia

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.