U Customs kekang penyeludupan

KOTA KINABALU 5 Ogos - Pelaksanaan sistem elektronik menyeluruh dikenali sebagai 'Ubiquitous Customs' (U-Customs) yang dijangka beroperasi pada 1 Januari 2016 diyakini mampu memantau operasi perdagangan import-eksport selain mengekang aktiviti penyeludupan komersial.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, keyakinan itu berdasarkan sistem elektronik tersebut yang menepati standard antarabangsa dengan pemantapan kemudahan perdagangan serta prosedur kastam secara menyeluruh.

"Dalam negara bergiat maju di bidang perdagangan antarabangsa, kerajaan melalui kastam memikirkan sudah tiba masa membina satu sistem yang benar-benar mampu mengendali aktiviti perdagangan dengan sempurna.

"Sistem itu akan memudahkan kita memberi fokus terhadap aktiviti penyeludupan melalui National Clearance Centre (NCC) dan National Targeting Centre (NTC)," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen kesedaran U-Customs peringkat Sabah, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), Datuk Abdul Rahman Othman dan Timbalan Pengarah Kastam negeri, Hamzah Sundang.

Sebanyak 42 buah agensi menyertai kempen tersebut yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta.

U-Customs yang dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) pada 2013 adalah bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) yang telah digunakan sejak 1994.

Menerusi sistem itu, semua kargo atau kontena yang melalui pintu masuk negara, sama ada pelabuhan atau lapangan terbang akan diimbas menggunakan mesin pengimbas 'pandu-lalu'.

Khazali seterusnya memberitahu, NTC akan digunakan untuk membuat penilaian risiko dengan memasukkan pelbagai kriteria bagi menentukan sasaran yang lebih mudah dan berkesan.

Jelasnya, sistem baharu itu juga diyakini mesra pengguna selain memudahkan pengendalian urusan perdagangan import dan eksport dengan lebih sempurna selaras peredaran masa terhadap pembangunan menjelang usaha kerajaan mencapai status negara maju.

"Ia tidak mengganggu pengendalian import dan eksport sebaliknya menggabungkan sistem sedia ada dengan agensi penguat kuasa lain bagi memudahkan rakyat dalam urusan perdagangan.

"Kita berharap kempen ini akan meningkatkan kesedaran mengenai pelaksanaan U-Customs yang turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan, selain pelaksanaan myGST bermula 1 April tahun hadapan," tambahnya.

Sumber : Utusan

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.