PUTRAJAYA -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pasukan keselamatan perlu mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) "shoot on sight" atau "tembak apabila nampak" yang lebih jelas untuk kelulusan kerajaan sebelum melaksanakannya. Merujuk kepada insiden serang hendap di Pulau Mabul, Sabah serta saranan Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar supaya pasukan keselamatan diberi kebenaran "shoot on sight", Najib menegaskan kerajaan berpendirian bahawa tindakan tegas adalah perlu dalam insiden sedemikian namun SOP perlu jelas supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Katanya kerajaan mahu SOP dan garis panduan yang lebih jelas supaya tiada interpretasi yang berbeza-beza. "Kalau tiada pengarahan dan panduan yang jelas, ia boleh menimbulkan sesuatu yang tidak diingini dan orang yang tidak bersalah boleh menjadi mangsa," katanya dalam sidang media di Seri Perdana di sini, Selasa. Sehubungan itu, Najib berkata pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta mengemukakan SOP itu. "SOP itu akan diluluskan oleh kerajaan sebagai langkah tambahan yang perlu diwujudkan. Jika tidak, ia akan membawa kepada pelbagai salah faham, kekeliruan, salah tafsiran...perkara buruk mungkin berlaku," katanya. Najib menegaskan beliau memahami bahawa insiden serang hendap di Pulau Mabul begitu serius dan perlu memikirkan langkah-langkah tambahan yang lebih tegas. "Saya setuju tindakan lebih tegas perlu diambil dan jika kita nak memberi kebenaran menembak, kita mesti ada garis panduan SOP dalam apa keadaan yang mereka boleh lakukan. "Ia perlu betul-betul jelas kerana anda bercakap tentang askar dan anggota polis biasa yang bertugas di lapangan dan mereka perlu faham dalam situasi bagaimana mereka boleh lepaskan tembakan kerana jika tidak, boleh menyebabkan orang tidak bersalah terbunuh," katanya. Najib juga berkata pihak berkuasa akan mengadakan perbincangan untuk menambah baik SOP dan garis panduan sedia ada bagi membolehkan mereka bertindak dengan lebih berkesan. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata pasukan keselamatan diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara ketika mengulas kenyataan Panglima Tentera Laut yang meminta kerajaan membenarkan pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak atau kumpulan yang menceroboh perairan Sabah. Kenyataan Abdul Aziz itu susulan insiden serang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul pada Sabtu malam lepas, yang mengorbankan anggota Pasukan Polis Marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, manakala rakan setugasnya Konstabel Zakia Aleip, 26, dilarikan.
Sumber : Bernama